Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Seramai 10 orang pemenang bertuah telah diumumkan oleh Bank Baiduri bagi promosi Bank on an Experience You Can Count on sempena meraikan kemenangan Best Mobile Banking App in Brunei dalam majalah World Finance, hari ini
Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Ketua Perbankan Digital Bank Baiduri, Goh Wen Feng.
Pemenang yang mendapat tempat pertama, Dayang Lolita binti Inchinta telah menerima hadiah berupa Apple Macbook Pro 16-inci, manakala Dayang Nur Azeera binti Napiah di tempat kedua telah membawa pulang iPad Pro 11-inci dan Dayang Nur Amalina binti Asmali mendapatkan Samsung Galaxy S20 Ultra Dual LTE 128GB selaku pemenang ketiga.
Sementara itu, Marilyn Eyeo Lee Ching dan Ngieng Soon King yang menduduki tempat keempat dan kelima masing-masing telah berjaya membawa pulang hadiah berupa Apple Watch Series 7. Manakala lima orang pemenang bertuah lainnya membawa pulang hadiah sagu hati berupa baucar $100 daripada AV Electronics.
Promosi tersebut telah berlangsung antara antara 29 Disember 2021 hingga 31 Mac 2022, di mana pengguna Baiduri b.Digital Personal yang melakukan transaksi tertentu menggunakan aplikasi mudah alih atau di laman sesawang bank secara automatik berpeluang memenangi hadiah-hadiah tersebut.
Aplikasi Baiduri b.Digital Personal telah dianugerahkan Best Mobile Banking App bagi Brunei dalam Anugerah Perbankan Digital 2021 oleh World Finance untuk tahun kedua berturut-turut pada Disember lalu.
Ketua Bank Runcit di Bank Baiduri, Lim Kian Chiong ketika bercakap mengenai promosi tersebut, berkata, “Selain meraikan kejayaan ini, kami ingin menghargai pelanggan kami yang semakin banyak memilih untuk membuat perbankan secara digital. Kami secara berterusan dalam perjalanan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kami dan meningkatkan pengalaman perbankan digital pelanggan kami,” tambahnya lagi.