Lombong henti operasi selepas pekerja jatuh dalam palong

KOTA BHARU, 26 SEPT – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan telah mengarahkan pemilik premis sebuah lombong di Felda Aring 5, Gua Musang untuk menghentikan semua kerja operasi pemprosesan bijih susulan kemalangan maut ke atas seorang buruh, Khamis lepas.

Pejabat Pengarah JKKP Kelantan memaklumkan sepasukan pegawai penyiasat jabatan itu telah ke lokasi kejadian sebaik menerima berita mengenai kejadian itu pada 8:50 pagi.

“Kejadian berlaku selepas seorang lelaki warga Indonesia melakukan kerja-kerja rutin iaitu membersihkan mesin mencuci bijih sebelum memulakan operasi. Lelaki itu dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam mesin ketika sedang membuat pemerhatian pada mesin selepas meletakkan gris.”

“JKKP bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang yang sedang bekerja dan melindungi orang lain daripada bahaya-bahaya keselamatan dan kesihatan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan pelbagai sektor.

“Untuk rekod, JKKP Kelantan telah mendakwa tiga syarikat perlombongan yang beroperasi di Aring serta mengeluarkan pelbagai kompaun atas kesalahan tidak mematuhi perundangan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” menurut kenyataan itu. – Bernama