London batal acara Tahun Baharu

LONDON, 21 DIS – Sambutan Tahun Baharu secara besar-besaran di London akan dibatalkan, kata Datuk Bandar London kelmarin, kerana kebimbangan terhadap lonjakan kes COVID-19 varian Omicron.

Sadiq Khan berkata jangkitan berada pada tahap tertinggi di bandar itu dan pihaknya perlu melakukan segala yang mungkin untuk memperlahankan penyebaran varian baharu itu.

“Ini bermakna kita tidak lagi akan menganjurkan acara sambutan untuk lebih 6,500 orang di Dataran Trafalgar pada malam Tahun Baharu ini,” katanya.

“Ini pastinya sangat mengecewakan bagi kebanyakan warga London, tetapi kita mesti mengambil langkah yang betul untuk mengurangkan penyebaran virus ini.”

Pihak berkuasa bandar itu berkata akan ada ‘siaran langsung yang menakjubkan’ disiarkan di BBC mengenai sambutan Tahun Baharu untuk bandar itu.

Paris sudah mengumumkan bahawa pertunjukan bunga api tahunan dan acara lain akan dibatalkan dan Jerman dijangka akan mengikut langkah serupa, termasuk cadangan untuk menutup kelab malam dan mengehadkan kehadiran parti persendirian.

Rekod kadar kes harian berulang kali dipecahkan sepanjang minggu lalu, menjadikan Britain sebagai salah sebuah negara Eropah paling teruk dilanda virus itu, dengan lebih daripada 147,000 kematian semasa pandemik dan berusaha untuk membendung Omicron.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Boris Johnson menentang tekanan kelmarin untuk mengetatkan sekatan pergerakan semasa Hari Krismas, berjanji untuk memastikan keadaan ‘sentiasa dipantau’. – AFP