LONDON, 19 MAC – Perkhidmatan rangkaian kereta api bawah tanah London ditutup sebahagiannya, lapor agensi berita Anadolu, memetik Pengangkutan London hari ini.
Bermula hari ini sehingga diberitahu kelak, 40 stesen kereta api akan ditutup. Rangkaian Waterloo & City ditutup sepenuhnya. Semua rangkaian ditutup pada Jumaat dan Sabtu, hanya kakitangan yang menjalankan tugas kritikal seperti pegawai kesihatan dibenarkan menggunakan perkhidmatan bas.
Perkhidmatan bas dan kereta api ditutup sebahagiannya susulan keputusan kerajaan mengharamkan semua perjalanan tidak penting.
Sky News melaporkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menutup kebanyakan kedai di ibu negara pada hujung minggu. Farmasi dan pasar raya tetap dibuka tetapi di bawah pengawasan. Namun, belum ada keputusan rasmi berhubung perkara itu. Kerajaan juga memutuskan menutup sekolah sehingga diberitahu kelak.
Menurut data Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS), COVID-19 meragut 33 nyawa dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan angka korban seramai 104 orang. Kes yang disahkan meningkat sebanyak 676 lagi menjadikan jumlah keseluruhan 2,526 orang.
COVID-19 kini meragut lebih 7,870 nyawa di seluruh dunia, lebih 194,000 kes disahkan membabitkan sekurang-kurangnya 164 negara dan wilayah. – Bernama
