Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong
TUTONG, 7 DIS – Dua individu dan sebuah syarikat di Daerah Tutong dikenakan kompaun kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 iaitu melonggokkan sampah di tempat awam.
Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Daerah Tutong, Dwi Cahyono yang tinggal di rumah pekerja Kompleks Sri Aman Kampung Petani, Tutong dan Aajam Shekh yang tinggal di rumah pekerja Kampung Penanjong, Tutong masing-masing dikenakan denda kompaun $100, sementara itu sebuah syarikat dikenakan kompaun $200.
Ketiga-tiganya dikehendaki menjelaskan kompaun dalam tempoh tujuh hari dan jika gagal membayar boleh dihadapkan ke mahkamah.
Jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagi badan-badan korporat boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $10,000 dan tidak melebihi 30,000 atau dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.