Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Sebilangan ibu bapa telah menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan kebersihan di kawasan persekitaran Sekolah Ugama Salambigar terutamanya di longkang-longkang utama yang selari dengan longkang premis-premis perniagaan di sana.
Salah seorang bapa pelajar yang menghubungi Media Permata mengakui telah membuat aduan tersebut ke Talian Darussalam sejak awal bulan lalu namun sehingga sekarang masih belum ada apa-apa tindakan daripada pihak berkenaan.
“Keadaan longkang yang kotor dan tersumbat telah dipenuhi oleh bau yang amat memualkan dan ia sudah pun berlanjutan kira-kira empat tahun yang lalu.
“Kita tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku seperti pembiakan serangga seperti nyamuk dan lalat yang boleh membawa wabak dan penyakit baru yang kemudian menularkannya kepada kanak-kanak sekolah di kawasan tersebut,” kata salah seorang lagi bapa pelajar, Haji Sohaili.
Jalan raya yang cukup selesa dan perparitan yang cukup bagus telah pun dibina oleh pihak kerajaan, namun adalah menjadi tugas dan tanggungjawab warga persekitaran tersebut, terutamanya para peniaga berhampiran untuk memastikan kebersihan dan bertanggungjawab secara berterusan sebagai pengguna dan bagi menjaga kesinambungan kemajuan perniagaan mereka.
“Kita juga pastinya tidak mahu kesihatan dan pembelajaran anak-anak sekolah terjejas akibat kekotoran longkang berkenaan,” ujar Haji Sohaili lagi.