Lopes: Ronaldo seorang yang ‘luar biasa’

LYON, 25 FEB – Pemain Lyon, Anthony Lopes menganggap pemain Juventus, Cristiano Ronaldo sebagai ‘luar biasa’, dan penjaga gawang Lyon tersebut mengetahui bahawa beliau berdepan tugas sukar untuk menghalang pemain kebangsaan Portugis dan rakan-rakannya dari terus mara apabila pasukan dari Perancis tersebut akan berdepan dengan Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara minggu ini.

“Saya sangat bertuah kerana dapat bermain bersama beliau. Beliau merupakan ketua pasukan yang mempunyai personaliti yang luar biasa, seorang lelaki yang hebat,” Lopes memberitahu AFP apabila ditanya mengenai bermain bersama beliau.

Lopes, 29, lahir berdekatan dengan bandar Lyon dan menghabiskan keseluruhan karier beliau di Lyon. Tetapi Lopes memilih untuk mewakili Portugis disebabkan beliau mempunyai darah keturunan Portugis, dan setakat ini beliau telah mengumpul sebanyak tujuh penampilan skuad kebangsaan dan menyertai dua kejohanan utama bersama Ronaldo, termasuk skuad Portugis yang memenangi Euro pada tahun 2016.

Hari Rabu ini, OL akan berdepan dengan Ronaldo dan gergasi Itali di pusingan pertama kelompok 16 terakhir.

Musim lepas, Lionel Messi telah menjadi penghalang kemaraan Lyon setelah Messi berjaya menjaringkan dua gol dalam kemenangan 5-1 Barca pada pusingan kedua setelah terikat tanpa jaringan di Perancis.

“Apabila bermain menentang Barca atau Juve, bahaya datang dari semua penjuru,” Lopes berkata. “Semua mata akan tertumpu ke arah Ronaldo, terutama dari tempat duduk penyokong.”

“Lyon bercita-cita untuk terus berada di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, tetapi mereka terpaksa bertungkus lumus untuk melangkah maju ke peringkat tersebut dan kehilangan pemain bintang mereka, Memphis Deoay akibat kecederaan. – AFP