BEIRUT, 8 Jan – Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dan puluhan lain cedera apabila sebuah lori tangki meletup di pekan Azaz, berhampiran sempadan Syria-Turki, hari ini.
Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) yang berpangkalan di Britain melaporkan, letupan memusnahkan kawasan pasar di hadapan sebuah kompleks mahkamah tempatan.
Antara yang terbunuh ialah enam anggota pemberontak tetapi sebahagian besar mangsa yang terkorban adalah orang awam. Ketua Pemerhati, Rami Abdel Rahman, berkata mangsa yang terkorban tidak dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang rentung.
Rakaman video menunjukkan beberapa kenderaan turut terbakar, manakala anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran.

Ia bukan serangan bom pertama di pekan itu, namun adalah yang terburuk setakat ini.
November tahun lalu, 25 orang termasuk orang awam terbunuh dalam serangan bom kereta di ibu pejabat kumpulan pemberontak. Mereka mendakwa serangan didalangi militan Daesh.
Oktober tahun lalu pula, 17 orang terbunuh dalam serangan bom kereta di pos pemeriksaan pasukan pemberontak. – AFP
































