Los Angeles lanjut perintah berkurung

LOS ANGELES, 4 JUN – Perintah berkurung masih dikenakan di Los Angeles County semalam, hari keempat berturut-turut, apabila protes atas kematian George Floyd terus berlarutan, lapor agensi berita Xinhua.

Daerah paling ramai penduduk di Amerika Syarikat (AS) itu, dengan populasi lebih 10 juta, berada di bawah perintah berkurung dari jam 9 malam waktu tempatan hingga 5 pagi hari ini, menurut satu kenyataan lembaga yang mengawasi kawasan itu.

Mereka yang melanggar perintah itu boleh didenda tidak melebihi AS$1,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Beberapa bandar lain di daerah itu seperti Santa Monica, Beverly Hills dan Culver City, turut mengenakan perintah berkurung. – Bernama