Oleh Hajah Saemah Kepli
Kuala Belait, 22 Okt – Pasukan Los Pirate telah muncul juara selepas meraih 12 mata dalam Kejohanan Futsal Terbuka Daerah Beliat anjuran Persatuan Majlis Belia Daerah Belait (MBDB) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait yang berlangsung di Kompleks Sukan Mumong, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Sungai Liang.
Juara kejohanan, Pasukan Los Pirate telah membawa pulang hadiah piala iringan berserta pingat dan wang tunai berjumlah $200, manakala pemenang tempat kedua yang disandang oleh Pasukan Vegrow City membawa pulang piala, pingat dan wang tunai sejumlah $170. Sementara itu, Pasukan Al-Merez FA yang menduduki tempat ketiga pula membawa pulang hadiah piala, pingat dan wang tunai berjumlah $130.
Dalam kejohanan itu, pemain terbaik telah dianugerahkan kepada Awang Mohd Hazlantul Khairul Zaman bin Haji Othman daripada Pasukan Los Pirate dengan menerima hadiah berupa sebuah piala.
Pasukan Los Pirate telah berjaya mengumpulkan mata tertinggi dalam perlawanan round robin tersebut dengan mengalahkan lima pasukan lainnya.


Setiausaha kejohanan tersebut, Pengiran Haji Sharifuddin bin Pengiran Haji Abas, memberitahu Media Permata, sebanyak enam buah pasukan telah menyertai kejohanan tersebut mewakili Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait, sementara pemain-pemainnya terdiri daripada kalangan para belia yang berusia 20 tahun ke atas.
Menurut beliau lagi, kejohanan yang dianjurkan buat kali kedua itu dihasratkan dapat melahirkan pemain-pemain belia yang berbakat dan berkebolehan dalam sukan futsal, sekali gus dapat diketengahkan bukan sahaja di peringkat daerah, malahan di peringkat kebangsaan.
Beliau juga berharap supaya lebih banyak kejohanan futsal akan diadakan di masa akan datang untuk mengenal pasti pemain-pemain yang berkemahiran dalam sukan tersebut.
Kejohanan kali ini juga bertujuan untuk menyerapkan pemain-pemain yang terpilih bagi mewakili pasukan Jabatan-jabatan di Daerah Belait ke kejohanan-kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain untuk memajukan dan meningkatkan lagi sukan futsal di kalangan penduduk di daerah ini.
Selain itu, ia diadakan bertujuan untuk mempromosi cara hidup yang sihat dan mengeratkan hubungan silaturahim, kesefahaman dan kemesraan di kalangan pengurus-pengurus dan para pemain di mukim dan kampung itu secara berkesan.