Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Louhan ‘primadona’ ikan hiasan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Memelihara ikan hiasan mungkin dianggap sekadar hobi kepada para pencintanya.

    Tidak mengira umur sama ada golongan muda mahupun yang tua, ikan tersebut disimpan di dalam akuarium dihias cantik yang mampu menarik hati sesiapa yang memandangnya.

    Suasana ketenangan juga akan dapat dirasai oleh para penggemarnya ketika menatap dan meneliti gerak-geri serta keunikan yang dimiliki oleh ikan-ikan eksotik. Dengan tersematnya perasaan seakan-akan ‘jatuh cinta’ kepada ikan hiasan berkenaan, mendorong mereka untuk menyelami hal ehwal penjagaannya dengan sebaik-baiknya.

    Hanya mereka yang cukup mengetahui keistimewaan dan kebaikan di sebalik misi penerokaan ikan hiasan bermula daripada pengetahuan asas sehinggalah ke tahap yang lebih kompleks.

    Ikan Louhan atau dalam Bahasa Inggeris disebut ‘Flowerhorn’ merupakan salah satu spesies ikan hiasan yang terkenal di kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam, bahkan di negara luar. Spesies yang memiliki ciri-ciri khas yang tersendiri iaitu dengan adanya benjolan pada bahagian kepalanya serta sisik yang berwarna-warni yang memancar dari tubuhnya telah menjadikannya ibarat primadona dalam kalangan pencinta ikan hiasan.

    Ikan Louhan memiliki ciri-ciri khas iaitu benjolan pada bahagian kepalanya serta sisik yang berwarna-warni yang memancar dari tubuhnya telah menjadikannya ibarat primadona dalam kalangan pencinta ikan hiasan.
    Penggemar ikan hiasan biasanya menyimpan ikan peliharaan mereka di dalam akuarium yang dihias cantik.
    Perbezaan antara ikan Louhan jantan dan betina juga boleh dilihat pada kecerahan warnanya.
    Memelihara ikan ini juga berpotensi mewujudkan peluang perniagaan melalui penjualan makanan ikan, welding stand, akuarium dan sebagainya. – Agensi

    Terdapat pelbagai jenis ikan Louhan dengan ciri-ciri khas masing-masing yang antaranya ikan Louhan Cencu, Louhan Bonsai, Louhan Super Red Dragon, Louhan Kemalau, ikan Louhan Kamfa, ikan Louhan Golden Base, ikan Louhan Thai Silk dan sebagainya.

    Perbezaan Louhan jantan dan bentina
    Bagaimana cara kita membezakan jantina ikan Louhan? Salah satu perkara yang paling jelas ialah dari segi ukuran tubuhnya iaitu ikan Louhan jantan biasanya memiliki ukuran yang lebih besar daripada betina jika dibandingkan pada jenis yang memiliki usia yang sama.

    Secara umumnya, ikan Louhan yang baik memiliki tubuh gempal, seimbang, tetapi tidak gendut pada bahagian perut, itu kebiasaannya dikategorikan daripada jenis ikan Louhan jantan. Namun berbeza dengan ikan Louhan betina meskipun tubuhnya gempal tetapi perutnya agak sedikit berisi.

    Selain itu, perbezaan antara ikan Louhan jantan dan betina juga boleh dilihat pada kecerahan warnanya. Ikan Louhan jantan memiliki warna lebih cerah berbanding betina tetapi mestilah dinilai antara lingkungan usia yang sama juga.

    Benjolan yang ada pada ikan Louhan merupakan daya tarikan tersendiri. Jenis jantan memiliki benjolan yang lebih besar atau terbentuk sempurna berbeza dengan betina pada kebiasaannya.

    Sementara itu, perbezaan kedua-dua jenis berkenaan juga boleh diketahui dari segi cara ikan Louhan berenang. Ikan Louhan jantan berenang lebih lincah dan aktif, berbeza dengan betina yang memiliki pergerakan lebih santai dan tidak terlalu aktif.

    Kebaikan memelihara ikan hiasan
    Apabila kita berbicara mengenai kebaikan-kebaikan yang diperoleh dengan memelihara ikan secara umumnya bukan hanya sebagai hiasan rumah semata-mata bahkan ia juga mampu memberi impak yang baik kepada kesihatan seseorang.

    Antaranya ia dapat memberi ketenangan sehingga boleh membawa kepada kestabilan degupan jantung dan menurunkan tekanan darah sekali gus boleh mengurangkan tekanan emosi.

    Di samping itu, memelihara ikan ini juga berpotensi mewujudkan peluang perniagaan melalui penjualan makanan ikan, welding stand, akuarium dan sebagainya. Hal ini sudah setentunya mampu meningkatkan pendapatan seseorang jika sentiasa menanamkan sikap rela ‘berjarih dan berkarih’.

    Teliti dalam penjagaan
    Selain itu, demi menjaga kesihatan ikan-ikan peliharaan sebegini, salah satu perkara yang perlu ditekankan ialah penyediaan ukuran akuarium yang tepat seperti dengan ukuran panjang mencapai 90 sm, lebar 40 sm, dan tinggi 50 sm atau lebih bagi memberi keselesaan tempat tinggal ikan berkenaan.

    Manakala pemasangan penapis pada air dalam akuarium juga diperlukan untuk memastikan air yang bersih dan berkualiti dengan sebaik-baiknya mengganti air berkenaan setiap dua minggu sekali.

    Alat untuk mengawal kadar pH air juga diperlukan agar kita dapat mengetahui baik atau buruknya kualiti air di akuarium yang mana alat berkenaan akan mengukur kandungan Hidroksida (OH) dan Hidrogen (H+) pada air. Pastikan skala pH air akuarium berada di antara pH7 hingga pH8 agar ikan dapat hidup dengan tenang.

    Perlu diketahui juga, kualiti dan suhu air pada akuarium pada umumnya antara 29 hingga 30 darjah Celsius. Hal ini penting agar ikan tidak merasa stres. Di samping menitikberatkan pemberian makanan yang teratur dan berkhasiat seperti udang, ikan-ikan kecil dan cacing, selain dari makanan khas buatan nutrisi yang bersesuaian.

    Ikan Louhan erat hubungan penggemar
    Memiliki keindahan dan keunikan warna pada tubuh ikan Louhan ini bukan saja menjadikannya sebagai ikan hiasan semata-mata, malah ikan Louhan ini turut dipertandingkan oleh para penggemarnya.

    Dengan adanya pertandingan ini bukan sahaja bermatlamat untuk mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan para peserta untuk mencapai kemenangan, malah mampu menyatukan para penggemarnya berkongsi ilmu pengetahuan yang luar biasa dalam dunia pemeliharaan ikan serta memperkenalkan pelbagai jenis ikan Louhan kepada orang ramai.

    Di samping itu juga, membuka minda masyarakat khususnya golongan belia akan potensi yang dimiliki dengan menceburi dunia pemeliharaan ikan dan hubungkaitnya dalam bidang keusahawanan yang mana ia secara tidak langsung dapat membantu menjadikan rakyat dan penduduk serta bumi Negara Brunei Darussalam mempunyai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan iaitu sebagai salah satu matlamat dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...