IPOH, 20 MAC – Setelah dibatalkan tahun lepas berikutan COVID-19, saingan perlumbaan jelajah berbasikal terulung negara, Le Tour de Langkawi (LTdL) kembali mewarnai arena sukan tanah air pada Jun depan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata setakat ini lima pasukan telah berdaftar dan lebih 20 lagi termasuk 18 pasukan dari luar negara telah menyatakan kesediaan mereka menyertai perlumbaan berkenaan.
“Kita tetapkan semua peserta wajib mendapat vaksinasi atau berdepan masalah untuk masuk ke negara kita malah mereka (peserta antarabangsa) hendak terbang dari negara mereka juga akan menghadapi masalah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pengenalan Laluan LTdL 2022 di sini hari ini.
Beliau berkata saingan edisi ke-26 berstatus UCI ProSeries itu dijadualkan pada 11 hingga 18 Jun, meliputi laluan sejauh 1,183 kilometer (km) membabitkan lapan peringkat menyusuri laluan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Pulau Langkawi.
Katanya, meskipun masih berada dalam era pandemik, kementerian bersama penganjur acara Human Voyage dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memutuskan menganjurkan saingan 2022 bagi meneruskan tradisi dan kesinambungan LTdL sebagai acara jelajah berbasikal paling berprestij negara.
“Dengan kembalinya LTdL 2022, peminat sukan berbasikal tentu berasa teruja. Selain merancakkan semula aktiviti ekonomi negara, perlumbaan ini diharap membuka mata mengenai keadaan sebenar dalam negara, terutamanya tahap keselamatan dan langkah ketat yang diambil untuk mengawal penularan wabak COVID,” katanya. – Bernama