Tuesday, March 25, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Luahan ibu anak autisme

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Tiada apa yang lebih membahagiakan hati seorang ibu, selain melihat anak disayangi yang menghidap autisme kembali ke tanah air atas langkah-langkah keselamatan akibat penularan Covid-19.

    Perasaan itu dirasakan Dayang Linda Ibrahim apabila melihat anaknya, Awang Mohd Danial Ariff bin Shamshuddin kembali ke tanah air dan sedang menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di salah sebuah hotel di ibu negara.

    Dayang Linda, berkata, beliau bersyukur Allah SWT anugerahkan nikmat anaknya boleh kembali ke tanah air dengan sihat.

    “Berkat doa yang tak putus dan keyakinan hati saya mengharapkan Danial kembali akhirnya jadi kenyataan. Saya hanya mampu mengucap syukur dan Alhamdulillah ke hadrat Allah kerana memberikan perlindungan sepanjang perjalanan pulang,” katanya.

    “Hati saya remuk ketika menerima berita di mana United Kingdom (UK) tidak terkecuali mengumumkan kes tentang COVID-19, hanya Allah yang tahu, betapa risau dan gelisah tetapi sebagai ibu saya perlu kuat,” ujarnya.

    Awang Danial merupakan antara pelajar di UK yang menuntut sebagai pelajar sepenuh masa bagi program International Year Zero in Media di De Montfort University International College (DMIC).

    Dayang Linda juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusssalam melalui Kementerian Pendidikan, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei bagi memudahkan urusan membawa pulang para pelajar tanpa sebarang kos.

    Untuk perjalanan pulang dalam krisis COVID-19 ini, satu kumpulan sembang WhatsApp COVID-19 telah dibuat untuk para penuntut di Kawasan East Midlands UK.

    Menerusi kumpulan itu, bermacam-macam maklumat diberikan oleh seorang penuntut yang ditugaskan sebagai sebagai focal point.

    Maklumat-maklumat berkenaan datang daripada Kedutaan Besar Brunei Darussalam, Unit Penuntut-penuntut (UPP) dan juga dari Kementerian Pendidikan di Brunei.

    “Kami juga diumumkan bahawa kerajaan Negara Brunei Darussalam akan menanggung perbelanjaan penerbangan penuntut-penuntut kembali ke tanah air,” ujar Dayang Linda.

    Beliau juga berkata, hanya dua minggu sahaja lagi beliau dan anaknya akan bersama seperti biasa, setakat ini mereka hanya berserah kepada pihak tertentu untuk menjalankan tugas mereka dan menunggu.

    Kesemua pelajar yang pulang ke tanah air telah pun dikuarantin selama 14 hari di beberapa buah hotel sebagai langkah-langkah keselamatan.

    Menurutnya lagi, mereka telah ditempatkan dalam sebuah bilik setiap seorang, dengan kemudahan Wifi, dan makanan percuma sepanjang waktu kuarantin.

    “Kami dilarang untuk berjumpa, akan tetapi kami dibenarkan memberikan makanan asasi dan keperluan lain melalui kakitangan keselamatan di hotel.

    “Danial merupakan seorang belia yang mengidap autistik, dan saya amat kagum dengan bagaimana dia menyesuaikan diri dan membiasakan diri di luar zon selesanya dengan rutin yang berbeza dan menerima beberapa arahan yang jarang diturutinya.

    “Akan tetapi Danial, Alhamdulillah, tidak panik sama sekali dan kami sentiasa memberikannya semangat, serta sokongan melalui telefon dan WhatsApp,” ujarnya.

    Setakat hari ini, keadaan Awang Danial masih dalam keadaan baik dan sihat, beliau juga perlahan-perlahan dapat menyesuaikan dirinya dengan bilik yang diberikan, sesuatu yang bukan mudah untuk individu autisme.

    Individu autisme lebih suka dengan rutin yang tetap dan amat susah untuk jadi fleksibel apatah lagi untuk cepat menyesuaikan diri dengan tempat yang tidak dibiasainya atau di luar zon selesa, tetapi Awang Danial memahami ini situasi darurat dan keselamatan orang lain adalah lebih penting.

    Awang Mohd Danial Ariff diagnosis dengan autisme pada usia tujuh tahun, yang dikenal pasti sebagai Asperger’s Syndrome.

    Beliau juga didiagnosis dengan ADHD (Attention Deficit Hyperactive Disorder), Language Processing Disorder, Hyperlexia (membaca sebelum berumur dua tahun) dan Dysgraphia (permasalahan neuro dalam penulisan tangan).

    Jenis autismenya amat sukar untuk didiagnosis kerana kelihatan seperti anak biasa kerana beliau boleh bertutur dan membaca.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda