Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Sekolah Seri Mulia Sarjana, hari ini, menganjurkan pameran Karya Seni yang memaparkan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 sempena Ulang Tahun Seri Mulia Sarjana ke-25 tahun.
Majlis yang berlangsung di sekolah berkenaan di Kampung Jangsak itu diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pelajar yang menyertai pertandingan tersebut dan penyampaiannya telah disempurnakan oleh ahli Persatuan Kartun ASEAN, Dr. Malai Yunus bin Malai Yussof.
Pameran itu antara lain bertujuan memberi peluang kepada pelajar mempamerkan kemahiran dan bakat seterusnya mengasah bakat mereka melalui karya seni di samping itu, ia juga cara untuk meluahkan perasaan hormat, kecintaan dan penghargaan kepada Baginda Sultan sebagai pemimpin dan rol modal kepada belia.
Dalam pameran itu, sebanyak 11 kategori dipertandingkan yang antaranya pembuatan poster, menghasilkan lambang kehormatan, kolaj kertas potret keagungannya, digital Art dan pembuatan buku memo.
Majlis juga diserikan dengan persembahan oleh pelajar seterusnya Dr. Malai Yunus serta tetamu yang lain menyaksikan pameran.
