Luaskan penggunaan aplikasi BruHealth

Sebagai seorang rakyat di negara ini saya cuba menyuarakan pendapat saya terhadap aplikasi BruHealth yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan untuk digunakan ketika memasuki restoran-restoran, masjid-masjid dan sebagainya.

Aplikasi ini adalah bertujuan untuk menjejak orang ramai yang berpotensi dijangkiti COVID-19 dan menjejaki orang ramai yang hadir ketika suspek COVID-19 berada. Saya tahu memang ramai yang merungut dengan aplikasi berkenaan. Ada yang mengalaskan sukar bagi pengguna-pengguna orang tua, ada yang mengalaskan menyusahkan tapi mereka tidak terfikir akan kebaikan aplikasi berkenaan.

Sukar bagi pengguna orang tua? Setahu saya bagi golongan warga emas tidak digalakkan untuk berada di luar rumah kerana golongan warga emas ini lebih berisiko mendapat jangkitan, lebih-lebih lagi jika mereka mengalami masalah kesihatan yang kronik.

Menyusahkan? Saya rasa antara menyusahkan dan menjaga diri daripada jangkitan, lebih baik memilih penjagaan diri demi keselamatan sendiri. Memang ada yang mengatakan aplikasi ini ada yang tidak memuat turunnya kerana sistem telefon pintar sudah terlalu lama dan ia memerlukan sistem baharu.

Justeru, suarakan kepada pihak tertentu tentang hal ini atau beberapa restoran meminta kebenaran daripada pihak berkenaan untuk mencatat secara tulisan untuk merekodkan pelanggan yang hadir. Sebagai contoh membenarkan pelanggan yang tidak memiliki aplikasi BruHealth membuat pesanan secara bawa balik memadai menunggu di kawasan luar kedai tetapi tetap mencatat kehadiran sebagai penjejakan.

Apa yang saya cuba suarakan sebenarnya adalah aplikasi BruHealth ini dikembangkan lagi penggunaannya di pusat-pusat membeli-belah.

Hal ini kerana menurut saya ia lebih wajar digunakan disebabkan keramaian yang memasuki premis perniagaan lebih ramai berbanding di restoran-restoran yang sudah dihadkan keramaiannya.

Tidak mustahil daripada keramaian yang ada di premis berkenaan lebih berpotensi dijangkiti virus. Diharap pihak tertentu untuk mempertimbangkan pandangan saya ini.

Rakyat Brunei

Salah sebuah premis menunjukkan kod QR yang perlu diimbas pengguna. Masih ramai yang merasakan sukar untuk menggunakannya. – Gambar oleh Muiz Matdani