Lubnan anjur konsert untuk mangsa letupan

BEIRUT, 21 SEPT – Lubnan semalam mengadakan konsert untuk mangsa letupan Beirut pada bulan lalu di perkarangan istana abad ke-19 yang dimusnahkan oleh letupan tersebut.

Letupan pada 4 Ogos di pelabuhan ibu negara membunuh lebih daripada 190 orang, mencederakan ribuan dan memusnah atau merosakkan bangunan di sebahagian besar bandar.

“Berupaya berkabung, meluangkan masa untuk mengingati, adalah penting untuk mengadakan acara muzik ini,” kata pengarah artistik Jean-Louis Mainguy.

Acara itu diadakan di perkarangan Istana Sursock, di mana tingkap, bumbung jubin merah, siling dan perabot dimusnahkan dalam letupan.

Konsert itu, yang tidak mempunyai penonton di kawasan itu, sebaliknya disiarkan di televisyen dan dalam talian, dilancarkan dengan persembahan ‘Li Beirut’, puisi dikhaskan untuk bandar oleh penyanyi terkenal Lubnan Fairouz.

Potret mangsa yang terbunuh dalam letupan dipamerkan di sebahagian perkarangan bangunan warisan, dengan lilin menyala di bawah setiap potret.

Gambar dan nama mangsa turut disiarkan di televisyen, diiringi oleh persembahan daripada orkestra dan kira-kira 250 penyanyi koir dari seluruh negara. – AFP

Penyanyi koir mengadakan persembahan untuk mangsa letupan Beirut di perkarangan Istana Sursock di Achrafieh, ibu negara Lubnan pada 20 September. – AFP