Lubnan bakal kemuka aduan tentang Israel

BEIRUT, 11 Jan – Majlis Pertahanan Tinggi Lubnan kelmarin telah mengumumkan bahawa negara itu akan mengemukakan satu aduan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkaitan pencabulan Israel ke atas wilayahnya, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan di laman sesawang kepresidenan Lubnan.

Tentera Lubnan akan diberi arahan yang perlu bagi menangani kesemua pencabulan itu manakala Lubnan dijangka mempertingkat hubungan diplomatiknya untuk menjelaskan pendirian negara tersebut berhubung pencerobohan Israel, menurut Majlis Pertahanan Tinggi.

Keputusan ini dibuat dalam satu mesyuarat majlis itu di Istana Baabda, yang menghimpunkan para pegawai tinggi keselamatan dan ahli politik terkemuka negara tersebut bagi membincangkan perkembangan di selatan sempadan Lubnan. – Bernama