TRIPOLI – Terletak berdekatan dengan pinggir laut di Tripoli, Lubnan, sebuah lengkungan konkrit gergasi berdiri kukuh seakan cuba mempamerkan satu keindahan dalam mimpi, sebelum berlakunya perang saudara, namun setiap goresan seni yang ada kelihatan semakin retak dan memecah.
Pada bulan ini sahaja, sebuah pameran seni telah diadakan di taman ini, di mana telah direka oleh arkitek legenda dari Brazil, Oscar Niemeyer dalam usaha yang terdesak untuk menyelamatkan taman seni ini dari kehancuran.
Di dalam sebuah kawasan yang luas di Pameran Tripoli Antarabangsa di utara Lubnan, beberapa pokok palma mengelilingi sebuah kubah konkrit raksasa. Manakala sebuah gerbang kecil berdiri tinggi di atas laluan seperti sebuah jambatan yang dan berdiri secara menegak, ke platform simen di tiang yang diukir cantik.
“Ia merupakan paradigma futuris yang unik khususnya di Lubnan dan di rantau ini,” kata arkitek Lubnan, Wassim Naghi.
“Dalam menilai sudut kemodenannya, ia bergantung kepada corak-corak lengkungannya di mana corak ini disimpulkan sebagai salah satu kemajuan seni bina selama seratus tahun,” katanya. “Dipamerkan di sebuah kawasan bersamaan dengan 70 padang ragbi, ia merupakan antara karya terbesar Niemeyer di luar Brazil,” tambahnya.



Arkitek dari Brazil itu telah mereka beberapa mercu tanda di seluruh dunia semasa bergiat aktif dalam bidang pembinaan yang bermula pada tahun 1930an dan berakhir pada abad ke-21.
Apabila arkitek itu meninggal dunia pada enam tahun yang lalu ketika berusia 104 tahun, dia telah meninggalkan beratus-ratus bangunan di mana ada yang belum siap sama ada di Brazil dan beberapa buah negara lain di dunia seperti Amerika Syarikat, Perancis, Malaysia, Algeria dan juga Cuba.
Program angkasa
Namun pada hari ini, kerja seninya di Lubnan itu memerlukan pemulihan. “Ini adalah bangunan konkrit dan ia perlu dipulihkan dengan cepat. Ada bangunan semakin rosak, retak dan juga blok-blok batu terjatuh,” Naghi memberikan amaran.
“Kami takut dan khuatir akan ada kejutan yang tidak menyenangkan, terutamanya semasa musim hujan,” katanya. Sehingga 23 Oktober lalu, pameran yang bertajuk, ‘Cycles of Collapsing Progress’ diadakan dan bertujuan untuk meraikan era pembinaan taman seni itu namun dalam masa yang sama turut memberikan amaran.
Di dalam sebuah dewan di bawah sebuah platform, para pelawat berpeluang untuk menyaksikan dengan lebih dekat roket putih yang memanjang dan digantung dari siling. Pertunjukkan ini cuba memperlihatkan zaman keemasan dalam sejarah moden Lubnan, impian seni bina, ilmu dan juga budaya zaman,” kata kurator, Karina Al-Helu kepada media.
Semasa tahun 1960an, negara yang terletak di kawasan Mediterranean itu turut mempunyai program angkasa mereka sendiri, di mana negara ini telah berjaya melancarkan roket tanpa kuasa manusia ke angkasa lepas. Ketika Niemeyer pertama kali diminta untuk mereka bentuk taman angkasa lepas di kawasan luar pada tahun 1962, terdapat perancangan untuk membina beberapa buah bilik di bawah sebuah platform yang bulat untuk dijadikan sebagai muzium angkasa lepas.
Dalam usaha untuk melakukan eksplorasi angkasa lepas itu dan pembinaan muzium di kawasan itu ditangguhkan berikutan berlakunya perang saudara di negara itu yang berlaku pada tahun 1975 sehingga 1990. Pameran ini juga bertujuan untuk cuba mengingati pengunjung terutama penduduk tempatan mengenai kisah-kisah lalu yang dilalui oleh negara itu melalui pameran ini.
Pameran ini juga berperanan untuk memberikan sumber cahaya kepada infrastrukturnya yang akan runtuh bila-bila masa sahaja, kata Helu kepada media AFP.
Senarai UNESCO?
Di sebuah negara yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri khususnya semasa zaman Phoenicia, Helu cuba menyeru mana-mana pihak berkuasa untuk memberikan perhatian yang khusus kepada seni bina moden ini. “Ia sangat baik untuk melakukan proses pemulihan dan memperlihatkan sejarah purba Lubnan, tetapi kita juga harus prihatin kepada beberapa mercu tanda sejarah moden negara ini,” tambahnya.
Arkitek Naghi berkata bahawa dia tidak optimis mengenai campur tangan segera dari pihak kerajaan. “Krisis semasa yang berlaku di negara ini tidak baik,” katanya yang merujuk kepada kebuntuan selama sebulan untuk membentuk sebuah kabinet kerajaan.
“Apa-apa bentuk renovasi perlu melibatkan penyelidikan dan kajian yang mendalam serta ditangani oleh syarikat-syarikat pakar,” kata Naghi. “Selain itu, ia memerlukan sumber kewangan yang besar dan apa yang penting, keputusan dari pihak kerajaan,” tambahnya.
Sebaliknya, Naghi dan yang lain-lain berharap taman ini dimasukkan ke dalam senarai Warisan Dunia UNESCO. Brasilia yang terletak di salah sebuah ibu kota di Brazil turut menempatkan seni-seni infrastruktur yang dibina oleh Niemeyer dan sudah berada dalam pencalonan senarai Warisan Dunia UNESCO.
Perwakilan Lubnan ke UNESCO, Sahar Baassiri berkata bahawa beberapa usaha sedang giat dilakukan untuk menambah taman konkrit ke bahagian seni bina kontemporari.
Akram Oueida, presiden tapak pameran itu berkata bahawa pegawai Lubnan cuba untuk membantu memulihkan tapak itu namun sehingga kini belum ada apa-apa yang dilaksanakan.
“Menyenaraikan taman ini sebagai sebuah tapak warisan dunia UNESCO mungkin boleh membantu malah ia boleh membuka pintu pembiayaan daripada orang ramai,” kata Oueida kepada media. – AFP