Thursday, November 7, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lubnan kemuka aduan terhadap Israel di PBB susulan pencerobohan darat

    BEIRUT, 4 OKT – Lubnan kelmarin mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Setiausaha Agung, Antonio Guterres mengenai pencerobohan Israel ke dalam wilayahnya serta pelanggaran Blue Line yang memisahkan kedua-dua negara itu.

    Kenyataan misi tetap Lubnan ke PBB, menyatakan aduan terbabit mengecam pencerobohan terhadap kedaulatan Lubnan dan kemasukan pasukan Israel ke dalam sempadan Lubnan sejak malam 1 Oktober, lapor agensi Anadolu.

    Israel melancarkan operasi darat di selatan Lubnan, dengan pegawai menyatakan ia bertujuan untuk mewujudkan zon penampan keselamatan yang akan berlangsung selama beberapa minggu, menurut laporan itu.

    Tentera Israel kemudian mengumumkan kematian seorang tentera mereka semasa pencerobohan darat itu.

    Pada Khamis, Hizbullah berkata pihaknya berjaya menghalang enam percubaan pencerobohan Israel di selatan Lubnan.

    Misi Lubnan menyatakan Israel melanggar Blue Line 2000 dan memperkecilkan Resolusi Majlis Keselamatan 1701 yang diterima pakai pada Ogos 2006.

    Resolusi itu menuntut permusuhan antara Lubnan dan Israel dihentikan sepenuhnya serta pembentukan zon antara Blue Line dan Sungai Litani, bebas daripada kumpulan bersenjata kecuali Angkatan Tentera Lubnan dan UNIFIL. – Bernama

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda