Lubnan mula rundingan parlimen tubuh kerajaan baharu

BEIRUT, 28 OGOS – Lubnan dijangka memulakan rundingan parlimen mengenai pemilihan perdana menteri baharu Isnin depan, kira-kira tiga minggu setelah kerajaan melucutkan kuasa kerana letupan di Beirut yang mengorbankan ramai nyawa, kata pejabat presiden hari ini.

Presiden Perancis Emmanuel Macron dijadualkan akan mendarat di Lubnan pada hari yang sama untuk menyampaikan mesej tentang perubahan perlu dibuat seperti dikemukakan dalam lawatan terakhirnya ke negara itu pada 6 Ogos, dua hari selepas letupan yang mengorbankan lebih dari pada 180 orang dan memusnahkan bandar tersebut.

Wakil blok parlimen negara itu dan penggubal undang-undang bebas akan mengunjungi istana presiden dari pagi Isnin untuk mengumumkan siapa yang ingin dilantik mereka untuk mengetuai kerajaan baharu.

Tidak ada kesepakatan yang dicapai mengenai calon setakat ini dan bekas perdana menteri Saad Hariri berkata pada minggu ini dia tidak berniat untuk kembali memegang jawatan itu.

Menteri Luar Negeri Perancis Jean-Yves Le Drian memberi amaran semalam bahawa Lubnan berisiko lenyap sebagai sebuah negara jika pembaharuan serius tidak dilakukan. – AFP