Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lubnan, PBB rayu bantuan kemanusiaan AS$371 juta 

    BEIRUT, 8 JAN – Lubnan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin merayu dana segera berjumlah AS$371.4 juta bagi menyediakan bantuan kemanusiaan dalam tempoh tiga bulan akan datang untuk mereka yang terjejas akibat perang baru-baru ini dan krisis kemanusiaan di Lubnan, lapor Agensi Anadolu (AA). 

    PBB dan kerajaan Lubnan mengumumkan lanjutan rayuan kecemasan, yang meliputi keperluan warga Lubnan, pelarian Syria, Palestin, serta pendatang asing yang berada di negara itu. 

    Lanjutan ini akan meliputi tempoh dari 25 Jan hingga Mac 2025 dan berdasarkan rayuan awal yang dilancarkan pada Oktober lalu untuk mengumpul AS$426 juta, menurut PBB. 

    Dana terbabit akan digunakan untuk menyokong bantuan makanan, bekalan musim sejuk, baikpulih kecemasan, perlindungan awam, serta menangani kekurangan kritikal membabitkan infrastruktur kesihatan, air, dan pendidikan, kata badan dunia itu. 

    Timbalan Perdana Menteri Lubnan, Saadeh Al-Shami menekankan fokus terhadap usaha menangani keperluan kemanusiaan segera selaras dengan perancangan pemulihan selepas perang dengan Israel.

    “Skala dan ruang lingkup krisis ini melebihi sumber yang tersedia, menjadikan sokongan antarabangsa penting untuk mengekalkan dan memperluas usaha tindak balas,” katanya. 

    Penyelaras kemanusiaan PBB di Lubnan, Imran Riza menegaskan keperluan mendesak bagi dana tambahan, demi menyelamatkan nyawa dan mencegah kemerosotan lebih lanjut dalam situasi yang sudah pun parah.

    Riza turut mendedahkan bahawa lebih daripada 125,000 orang masih hilang tempat tinggal, dengan ratusan ribu lagi menghadapi cabaran besar untuk membina semula kehidupan mereka. 

    Satu gencatan senjata yang dikuatkuasakan sejak 27 Nov, mengakhiri siri serangan balas antara Israel dan Hizbullah yang bermula 8 Oktober 2023 dan memuncak pada 23 September. – Bernama/AA

    Kanak-kanak Palestin bermain di sebelah bangunan yang musnah akibat serangan tentera Israel di Khan Younis, Semenanjung Gaza kelmarin. Lubnan dan PBB rayu bantuan kemanusiaan segera. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda