Lubnan sedia berdepan sekatan baharu COVID-19

BEIRUT, 21 OGOS – Lubnan bersedia berdepan sekatan baharu pada hari ini setelah lonjakan jangkitan COVID-19 sementara di Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berjanji untuk bertindak pada hari pertamanya sebagai calon presiden untuk memerangi wabak yang telah mengorbankan 170,000 orang di AS.

Jumlah kes dalam beberapa minggu ini telah memberi tekanan kepada perkhidmatan kesihatan Lubnan yang juga berjuang untuk mengatasi ribuan yang cedera akibat letupan dahsyat di pelabuhan Beirut baru-baru ini.

Penutupan dua minggu itu menambah kesengsaraan sebuah negara yang berada dalam krisis ekonomi yang teruk bahkan sebelum COVID-19 melanda dan letupan besar pada 4 Ogos yang mengorbankan 181 orang dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal.

“Sekarang apa? Selain bencana ini, bencana COVID-19?” kata Roxane Moukarzel, 55, salah seorang penduduk di Beirut.

“Menutup ekonomi negara adalah tidak baik, kerana orang ingin berniaga, tetapi benarkan mereka menanggung sedikit kerugian daripada jatuh sakit dan terpaksa dibawa ke hospital,” kata ibu kepada seorang anak, yang bekerja sebagai arkitek.

Pihak berkuasa khuatir sektor kesihatan Lubnan yang rapuh akan bergelut untuk mengatasi lonjakan kes COVID-19, terutamanya selepas beberapa hospital berhampiran pelabuhan mengalami kerosakan teruk selepas kejadian letupan itu.

Mereka mengatakan langkah-langkah penutupan yang baharu, yang bermula pada waktu malam pada jam 6 malam hingga 6 pagi, tidak akan menjejas kerja-kerja pembersihan atau bantuan di kawasan yang dilanda letupan itu. – AFP