Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lubnan tuduh Israel tolak gencatan senjata

    BEIRUT, 1 NOV – Perdana Menteri Lubnan menuduh Israel menolak gencatan senjata selepas tentera Israel hari ini mengebom kubu kuat pejuang Hizbullah di selatan Beirut buat kali pertama minggu ini.

    Kira-kira 10 serangan melanda kawasan pinggir bandar selatan sebelum subuh selepas tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan, dengan rakaman AFPTV menunjukkan letupan dan kepulan asap.

    “Serangan itu menyebabkan kemusnahan besar di kawasan yang disasarkan, di mana puluhan bangunan runtuh, selain berlakunya kebakaran,” lapor agensi berita nasional Lubnan, sambil menambah bahawa serangan juga menyasarkan Aley, tenggara ibu negara, dan Bint Jbeil di selatan negara itu.

    Tentera Israel berkata mereka meneruskan operasi terhadap pejuang Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan dan sekutu Palestinnya, pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.

    Serangan itu berlaku sehari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertemu pegawai Amerika Syarikat (AS) untuk membincangkan kemungkinan perjanjian bagi menamatkan perang di Lubnan, menjelang pilihan raya presiden AS pada Selasa.

    Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati mengecam perluasan serangan Israel, dengan mengatakan ia menunjukkan keengganan untuk terlibat dalam usaha gencatan senjata.

    “Kembali meluasnya serangan musuh Israel dan sasaran baharunya terhadap pinggir selatan Beirut dengan serangan yang memusnahkan adalah semua petunjuk yang mengesahkan penolakan musuh Israel terhadap semua usaha yang dilakukan untuk memastikan gencatan senjata,” katanya.

    Selepas itu, NNA melaporkan pesawat pejuang Israel melakukan serangan baharu ke atas bandar timur Baalbek, yang merupakan lokasi peninggalan Rom yang diiktiraf oleh UNESCO.

    Pada Khamis, serangan ke atas Baalbek di timur Lubnan menyebabkan enam orang terbunuh, kata agensi berita itu, sambil menambah enam lagi terbunuh dalam serbuan ke atas Maqna. – AFP

    Penduduk Lubnan memeriksa kemusnahan selepas serangan Israel di kejiranan Haret Hreik di pinggir selatan Beirut pada 1 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda