Luckin Coffee didenda AS$9 juta keluar laporan palsu

BEIJING, 22 SEPT – Rangkaian Luckin Coffee di China adalah antara 45 syarikat yang dikenakan denda berjumlah hampir AS$9 juta disebabkan skandal yang membabitkan laporan angka jualan palsu, kata badan pengawal pasaran China hari ini.

Luckin – pesaing Starbucks di China – telah merangsang transaksi pada tahun lalu menerusi kupon palsu berjumlah 2.25 bilion yuan dan menambah pendapatannya sebanyak kira-kira 2.12 bilion yuan, menurut siasatan awal oleh kementerian kewangan.

Skandal itu mendorong syarikat dikeluarkan dari Nasdaq New York dan pemecatan eksekutif tertingginya.

Hari ini, Pentadbiran Negeri China untuk Peraturan Pasaran berkata siasatan mendapati Luckin, dengan bantuan syarikat lain, telah menipu dengan menambah pendapatan jualan, kos dan margin keuntungannya pada 2019, dan mengenakan denda berjumlah 61 juta yuan ke atas syarikat itu.

Rangkaian kopi itu dilancarkan pada 2017 dan bercita-cita menyingkirkan Starbucks di China menerusi strategi pertumbuhan agresif, menarik pelanggan dengan model pembelian berasaskan aplikasi yang mengutamakan opsyen bawa pulang dan penghantaran, serta kupon yang banyak.

Namun sahamnya merosot selepas syarikat mendedahkan pada April bahawa seorang eksekutif atasan telah mengubah buku akaun.

Mulai Ogos tahun lalu hingga April, ia juga menggunakan data pemasaran palsu untuk ‘menipu dan mengelirukan orang awam,’ justeru melanggar undang-undang persaingan tidak adil China, kata badan pengawas pasaran hari ini. – AFP