Lufthansa letak 87,000 warga dalam skim bekerja singkat

FRANKFURT AM MAIN, 2 APRIL – Syarikat penerbangan Eropah, Lufthansa berkata hari ini ia telah meletakkan 87,000 kakitangannya – lebih daripada 60 peratus tenaga kerjanya – dalam skim waktu kerja singkat yang disokong kerajaan, ketika sektor pengangkutan udara tidak beroperasi di tengah-tengah krisis koronavirus.

Antara 135,000 kakitangan kumpulan itu, kru kabin, kru lapangan dan buat pertama kali juruterbang-juruterbangnya semua telah terjejas oleh langkah tersebut, kata jurucakap kepada AFP.

Kira-kira 62,000 kakitangan terjejas adalah di Jerman, yang menambah bilangan yang diberi pada Jumaat bagi mereka yang akan bekerja untuk waktu lebih pendek sehingga September.

Di samping syarikat besar Jerman, Lufthansa dan anak syarikat tambang rendah Eurowings, kumpulan itu turut termasuk pengangkutan kecil seperti Austrian, Brussels Airlines dan Swiss.

Sekitar 700 daripada 763 pesawat Lufthansa tidak beroperasi berikutan pengurangan besar dalam perkhidmatan penerbangan, dan kapasiti kerusinya hanya lima peratus daripada jadual biasa sehingga 19 April.

Ketua Eksekutif Carsten Spohr bulan lalu memberi amaran bahawa ‘lebih lama krisis itu berakhir, kemungkinan besar masa depan syarikat penerbangan tidak dapat dijamin tanpa bantuan kerajaan’.

Pelan penerbangan kumpulan itu telah dikurangkan ke tahap yang tidak pernah dilihat sebelumnya sejak 1950an, kata Spohr.

Di seluruh dunia, Persatuan Pengangkutan Udara Antara-bangsa telah berkata sehingga AS$200 bilion mungkin diperlukan untuk menyelamatkan syarikat penerbangan.

Dikenali di Jerman sebagai ‘Kurzarbeit’, sokongan Berlin bagi mereka yang diberikan masa bekerja singkat akan ditambah bayaran gaji pekerja dari tabung kerajaan. – AFP

Pesawat syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa parkir di lapangan terbang Franz-Josef-Strauss di Munich, selatan Jerman pada 1 April. Kira-kira 87,000 kakitangan Lufthansa telah ditempatkan dalam skim waktu bekerja singkat di tengah krisis koronavirus. – AFP