Lufthansa pendekkan waktu bekerja 31,000 kakitangan

FRANKFURT AM MAIN, 27 MAC – Syarikat penerbangan gergasi Jerman, Lutfhansa berkata hari ini ia akan meminta bantuan kerajaan untuk memendekkan waktu bekerja untuk 31,000 orang kakitangan sehingga bulan September, dengan syarikat penerbangan di seluruh dunia antara syarikat yang paling teruk terjejas akibat krisis koronavirus.

Kumpulan tersebut ‘telah memohon untuk waktu bekerja yang lebih pendek untuk kabin dan kru darat sehingga 31 Ogos’ di unit penerbangan utama, beritahu jurucakap Joerg Waber kepada AFP.

“Satu penyelesaian bakal dicapai untuk kru kokpit,” tambah beliau.

31,000 pekerja mewakili hampir satu dalam empat kakitangan di kumpulan syarikat Lufthansa, yang juga termasuk syarikat penerbangan Austria dan Brussels Airlines, Eurowings dan Swiss.

Kira-kira 700 daripada 763 buah pesawat ‘ditempatkan sementara’ berikutan pengurangan yang besar dalam operasi penerbangan dalam tempoh minggu-minggu akan datang.

Syarikat penerbangan gergasi Jerman, Lutfhansa, akan meminta bantuan dari kerajaan untuk memendekkan waktu bekerja seramai 31,000 orang kakitangan sehingga bulan September kerana krisis koronavirus. – AFP

Ketua eksekutif, Carsten Spohr pada minggu lalu mengingatkan bahawa ‘lebih lama krisis ini berlarutan, lebih besar kemungkinan masa depan penerbangan tidak dapat dijamin tanpa bantuan dari kerajaan’.

Rancangan penerbangan syarikat tersebut telah dikurangkan pada tahap yang tidak pernah dilihat sejak 1950an, kata Spohr.

Di seluruh dunia, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa telah berkata lebih daripada AS$200 bilion mungkin diperlukan untuk menyelamatkan syarikat penerbangan.

Dikenali sebagai ‘Kurzarbeit’ di Jerman, sokongan Berlin untuk memendekkan waktu bekerja pekerja menambah gaji pekerja dari dana kerajaan.

Skim tersebut dipuji kerana membantu mengekalkan beribu-ribu pekerjaan semasa krisis kewangan pada akhir tahun 2000an.

Berlin melanjutkan akses kepada skim tersebut tatkala koronavirus menjejas ekonomi terkenal Eropah, membenarkan syarikat-syarikat untuk memohon mendapatkan bantuan apabila 10 peratus daripada pekerja terjejas, dan bukannya 33 peratus sebelum ini. – AFP