LONDON, 17 OGOS – Penyerang baharu Chelsea, Romelu Lukaku berkata kelmarin bahawa dia percaya dirinya kini adalah ‘penyerang lengkap’ ketika pemain rekod pembelian kelab itu kembali menyesuaikan diri di Stamford Bridge.
Lukaku menyertai Chelsea dengan rekod perpindahan 98 juta pound dari Inter Milan minggu lalu. Penyerang berusia 28 tahun itu tidak dapat disenaraikan semasa Chelsea menewaskan Crystal Palace 3-0 dalam pertemuan di Liga Perdana Inggeris minggu lalu.
Tetapi Lukaku mungkin diturunkan pada Ahad ketika pasukannya mengunjungi Arsenal dan penyerang Belgium itu merancang untuk menunjukkan peningkatan yang telah dibuat sejak kali terakhir dia beraksi untuk The Blues.
Hampir 10 tahun selepas tiba di barat London sebagai seorang pemain remaja yang tidak dikenali, Lukaku kembali sebagai salah seorang penyerang berbisa di dunia.
“Saya merasa lebih lengkap, saya cuba memahirkan diri dengan segala kebolehan yang diperlukan untuk menjadi seorang penyerang dan saya mahu memperbaiki diri termasuk butiran-butiran kecil pada setiap masa dan cuba memperbaiki kekuatan fizikal saya,” Lukaku memberitahu laman web Chelsea.
“Saya mahu membantu pasukan mencipta kemenangan dan bersedia untuk beraksi untuk pengurus dan rakan sepasukan.
“Saya mahu memastikan mereka merasa selesa dan mereka boleh mengharapkan saya dalam mana-mana situasi kami tempuhi,” tambahnya.
Lukaku meledak 27 gol dan 11 assist musim lalu ketika Inter menjulang trofi Serie A.
Dia juga mempunyai pengalaman luas beraksi di Liga Perdana Inggeris selepas sebelum ini mewakili West Brom, Everton dan Manchester United. Chelsea bergelut mencari gol musim lalu, namun Lukaku yakin dia mampu mengalas peranan yang diperlukan oleh pengurus, Thomas Tuchel. – AFP































