Lukaku hidup peluang Inter

MOENCHENGLADBACH, JERMAN, 2 DIS – Romelu Lukaku memastikan Inter Milan terus berpeluang mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dengan meledak dua gol untuk kemenangan 3-2 di Borussia Moenchengladbach.

Ia adalah kemenangan Liga Juara-Juara pertama Inter musim ini, menjadikan saingan Kumpulan B terbuka luas menjelang perlawanan terakhir kumpulan minggu depan.

Lukaku, yang kini mengumpul 13 gol dalam 15 penampilan Eropah untuk Inter, membuatkan pemain Gladbach, Cristoph Kramer buntu untuk mengekangnya.

“Jika anda mengawalnya sepanjang masa, anda akan bermain di sekitarnya, jadi ia seimbang.

“Tetapi itulah Inter, mereka mempunyai corak permainan berbeza dan mereka membuktikannya hari ini,” kata Kramer.

Gladbach masih menerajui kumpulan selepas Shakhtar Donetsk menewaskan Real Madrid 2-0, tetapi mereka kini hanya tiga mata mengatasi Inter di tangga tercorot.

Dengan hanya satu mata membezakan tiga pasukan teratas, ke-semua empat pasukan masih berpeluang mara ke kelompok 16 terakhir minggu depan. – AFP

Reaksi Lukaku ketika meraikan jaringan pada perlawanan menentang Borussia Moenchengladbach di Moenchengladbach awal pagi kelmarin. – AFP