Lukaku julang Inter hampiri gelaran

MILAN, 8 APRIL – Romelu Lukaku meletakkan Inter Milan semakin hampir untuk merangkul gelaran liga Serie A buat kali pertama selepas lebih sedekad apabila menjaringkan gol dan memberikan assist kepada Lautaro Martinez ketika melakar kemenangan 2-1 ke atas Sassuolo, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Inter kini menduduki tangga teratas Serie A dengan kelebihan 11 mata.

Juara bertahan, Juventus pula menduduki tempat ketiga, ketinggalan 12 mata berbanding Inter, selepas menewaskan Napoli 2-1 menerusi jaringan daripada Paulo Dybala dan penjaring terbanyak liga, Cristiano Ronaldo.

Kedua-dua perlawanan itu dijadualkan semula berikutan pandemik COVID-19 membabitkan Inter bulan lalu dan Napoli awal Oktober tahun lalu.

Lukaku menanduk masuk hantaran Ashley Young untuk gol peribadi ke-21nya pada saingan liga selepas 10 minit perlawanan di San Siro sebelum beliau membantu Lautaro menjaringkan gol kedua pada pertengahan separuh masa kedua.

Reaksi penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku dan Lautaro Martinez ketika meraikan jaringan gol semasa perlawanan menentang Sassuolo semalam di Stadium San Siro. – AFP

Hamed Junior Traore merapatkan jurang untuk pasukan pelawat ketika perlawanan berbaki lima minit namun masih tidak dapat menafikan kemenangan ke-10 berturut-turut Inter di saingan liga sekali gus mengukuhkan impian mereka untuk merangkul kejuaraan.

Skuad bimbingan Antonio Conte berada di landasan tepat untuk menjulang gelaran Serie A buat kali ke-19 dan yang pertama sejak 2010.

“Masih ada sembilan perlawanan dan setiap perlawanan bernilai enam mata,” kata jurulatih Inter itu.

“Kami berusaha melakukan sesuatu yang baik untuk bandar ini yang tidak pernah menang selama 10 tahun.

“Pasukan yang sama telah menang selama sembilan tahun dan akan sangat indah untuk mengakhirinya,” tambah Conte yang memimpin Juventus merangkul gelaran ketiga dari sembilan gelaran Serie A mereka.

Impian Juventus untuk memenangi kejuaraan liga buat kali ke-10 berturut-turut terjejas selepas hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan terakhir liga ketika bertemu pasukan bawahan, Benevento dan Torino. – AFP