Lukaku ledak gol pertama

SALT LAKE CITY, 18 Julai – Romelu Lukaku menjaringkan gol pertamanya dengan jersi Manchester United pagi tadi apabila gergasi Liga Perdana itu bertungkus-lumus untuk menang 2-1 ke atas Real Salt Lake di Utah.

Lukaku, yang telah menyertai United dari Everton dengan perpindahan yang dilaporkan bernilai 75 juta pound minggu lalu, menjaringkan gol kemenangan United pada minit ke-38, menyudahkan hantaran rendah Henrikh Mkhitaryan.

Penyerang antarabangsa Belgium berusia 24 tahun itu juga terlibat dalam jaringan penyamaan United yang dihasilkan Mkhitaryan pada minit ke-29 selepas Luis Silva memberikan Salt Lake pendahuluan awal.

Lukaku menggunakan kekuatan dan fizikalnya untuk menahan pertahanan Real untuk mengumpan Jesse Lingard, yang kemudian membuat hantaran kepada Mkhitaryan untuk gol penyamaan.

Gol-gol United adalah sedikit tumpuan menarik dalam persembahan tidak menentu United di separuh masa pertama, yang berkunjung ke Utah semalam dari kem latihan mereka di Los Angeles.

Penyerang baru Man United, Romelu Lukaku (kanan) menewaskan penjaga gol Real Salt Lake, Lalo Fernandez bagi gol kemenangan Man United di Utah. – AP
Penyerang baru Man United, Romelu Lukaku (kanan) menewaskan penjaga gol Real Salt Lake, Lalo Fernandez bagi gol kemenangan Man United di Utah. – AP

Di awal perlawanan, United adalah pasukan kedua terbaik menentang Salt Lake yang garang, dengan pertahanan mereka diberikan kesukaran oleh pasukan yang berada di kedudukan bawah Major League Soccer.

Trio penyerang bertenaga, Luis Silva, Joao Plata dan Jefferson Savarino kerap mengucar-ngacirkan pertahanan United, dengan Phil Jones bergelut mengekang pergerakan serangan mereka.

Savarino membuat larian pantas dan kemudian memberikan umpanan gol kepada Silva pada minit ke-23.

United kemudian memberikan respons dengan pantas dengan jaringan penyamaan Mkhitaryan.

Jurulatih Real, Mike Petke, dengan fokus bagi jadual perlawanan MLS di Portland esok, mengeluarkan sebahagian besar kesebelasan utamanya ketika perlawanan memasuki 30 minit, dan United memanfaatkan peluang itu dengan menjaringkan gol menerusi Lukaku.

Mourinho juga menurunkan barisan pemain baru bagi separuh masa kedua, dengan Marcus Rashford dan Anthony Martial menerajui serangan United.

United sekali lagi bergelut untuk bermain dengan baik, dan kekecewaan mereka mencapai kemuncaknya apabila Antonio Valencia telah diarahkan meninggalkan padang atas terjahan kasar ke atas Sebastian Saucedo di pertengahan separuh masa kedua.

United akan berdepan dengan Manchester City di Houston pada hari Khamis bagi perlawanan ketiga dalam jelajah AS mereka. – AFP