Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lukaku, Martial kucar-kacirkan CSKA Moscow

    MOSCOW, 28 Sept – Romelu Lukaku dan Anthony Martial menjejaskan malam CSKA Moscow apabila Manchester United mengungguli Kumpulan A Liga Juara-Juara dengan kemenangan bergaya 4-1 awal pagi tadi.

    Lukaku menjaringkan dua gol di VEB Arena, Moscow, menjadikan jumlah jaringannya kepada 10 gol dalam sembilan perlawanan, dengan Martial memberikan dua umpanan gol kepadanya, malah menjaringkan satu penalti sebelum Mkhtaryan melengkapkan kemenangan United.

    Ia adalah kemenangan di tempat lawan pertama United dalam kejohanan itu sejak November 2013 dan dengan Basel membelasah Benfica dalam satu lagi perlawanan dalam kumpulan itu, ia membolehkan skuad Jose Mourinho mempunyai kelebihan tiga mata di puncak.

    “Kami memulakan perlawanan dengan kuat. Kami mengejutkan mereka dengan sikap kami,” kata Mourinho. “Mereka tidak sebagus seperti yang dilihat, kerana kami.

    “Lukaku mempunyai rekod hebat. Kami tahu dia seorang pemain yang sangat bagus, yang mampu menjaringkan banyak gol. Dia dikelilingi oleh pemain-pemain berkualiti. Kami dalam kedudukan yang bagus dengan empat perlawanan lagi perlu diharungi.”

    Romelu Lukaku dikawal oleh tiga pemain CSKA Moscow. Meskipun dikawal rapat, Lukaku berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan yang berkesudahan 4-1 itu. – AFP
    Penyerang Man United, Martial, ketika menjaringkan gol melalui penalti dalam aksi Liga Juara-Juara ke atas CSKA Moscow. – AP

    Selepas menang tipis 1-0 di Southampton hujung minggu lalu, United kembali kepada prestasi terbaik mereka di ibu negara Rusia, kepantasan dan pergerakan gandingan Lukaku dan Martial menghuru-harakan CSKA sepanjang malam.

    Setelah menewaskan Benfica dalam perlawanan pembukaan mereka, CSKA kembali sedar dengan pukulan itu, meskipun pemain gantian Konstantin Kuchaev memberikan penyokong mereka sesuatu yang dapat disorakkan dengan gol sagu hati pada minit ke-90.

    Sementara pasukan tuan rumah mempunyai detik mereka, pertembungan itu menjadikan lebih kepada sindiran dengan dakwaan Mourinho sebelum perlawanan bahawa pasukan CSKA ini merupakan yang terkuat pernah dihadapinya.

    Ketiadaan Paul Pogba, Marouane Fellaini dan Michael Carrick kerana cedera, Mourinho memulakan perlawanan dengan sistem 3-4-1-2, tetapi pasukan pelawat tidak mengambil masa lama menyesuaikan diri.

    Dengan gadingan serangan baru, Lukaku dan Martial dengan pantas menyesuaikan diri, dengan gandingan keduanya memberikan United gol pendahuluan pada minit keempat.

    Martial membuat gerakan di sayap kiri sebelum membuat hantaran lintang ke dalam petak, di mana Lukaku melompat untuk membuat tandukan menewaskan Igor Akinfeev.

    Selepas Akinfeev menyelamatkan percubaan Mkhitaryan dengan kakinya, Martial menjadikan kedudukan 2-0 dari sepakan penalti pada minit ke-18 susulan satu faul ke atas Mkhitaryan oleh Georgi Schennikov.

    Sembilan minit kemudian, kedudukan berubah menjadi 3-0 apabila Vasili Berezutksi gagal mengeluarkan bola hasil hantaran lintang Martial dan Lukaku membuat penyudah.

    Kekecewaan jurulatih CSKA, Viktor Goncharenko, adalah pasukannya mampu membuat beberapa percubaan ke gawang United, hanya mendapati David de Gea menjadi penghalang.

    Penjaga gol United itu menghasilkan satu aksi menyelamat dengan satu tangan untuk menafikan Alan Dgagoev ketika kedudukan masih 1-0 dan menepis satu rembatan kencang Fedor Chalov ketika kedudukan 2-0, serta menyelamatkan beberapa lagi percubaan Vitinho dan Dzagoev.

    Akinfeev menafikan hatrik untuk Lukaku di awal separuh masa kedua sebelum satu lagi kecuaian pertahanan menghadiahkan United gol keempat.

    Pertahanan veteran, Sergei Ignashevich menghadiahkan bola kepada Ander Herrera, yang kemudian membuat hantara kepada Martial.

    Percubaan penyerang Perancis itu berjaya ditepis oleh Akinfeev, tetapi Mkhitaryan dengan pantas menyudahkan bola yang melantun itu.

    Akinfeev kini sudah bolos dalam 45 perlawanan, meskipun aksi menyelamatnya mengelakkan CSKA daripada lebih dimalukan.

    “Jika saya mempunyai pelan, ia sudah dirosakkan selepas gol pertama yang kami bolosi,” kata Goncharenko.

    “Tahap kami merosot dengan mendadak dan Manchester mempunyai kelebihan besar ke atas kami. Kelas lawan kami terlalu hebat.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda