Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lukaku, Rashford benam Man City

    HOUSTON, 21 Julai – Romelu Lukaku dan Marcus Rashford menemui sasaran apabila Manchester United menewaskan pesaing Liga Perdana, Manchester City 2-0 dalam perlawanan pra musim Piala Juara-Juara Antarabangsa pagi tadi.

    Pemain antarabangsa Belgium, Lukaku memperoleh jaringan keduanya dalam dua permulaan ketika United menewaskan City di Stadium NRG, Houston.

    Sementara itu, penyerang England, Rashford meneruskan prestasi hebatnya dalam pra musim dengan gol ketiga dalam tiga perlawanan bagi jelajah AS United itu.

    Perlawanan itu merupakan derbi Manchester yang pertama diadakan di luar negara dan kedua pasukan memberikan penghormatan bagi serangan 22 Mei di bandar itu sebelum sepak mula.

    “Ia adalah sesi latihan yang sangat bagus,” kata pengurus United, Jose Mourinho selepas perlawanan.

    Barisan pemain Manchester United bergambar sebelum perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa menentang Manchester City di Houston. Derbi Manchester itu berakhir dengan Man United menang 2-0. – AP
    Barisan pemain Manchester United bergambar sebelum perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa menentang Manchester City di Houston. Derbi Manchester itu berakhir dengan Man United menang 2-0. – AP
    Romelu Lukaku (kanan) sempat menanduk bola melepasi penjaga gol Man City, Ederson sebelum menjaringkan gol pertama United. –AP
    Romelu Lukaku (kanan) sempat menanduk bola melepasi penjaga gol Man City, Ederson sebelum menjaringkan gol pertama United. – AP

    “Kami bermain dengan sangat baik di separuh masa pertama, intensiti yang bagus, para pemain keletihan. Saya gembira dan saya pasti Pep (Guardiola) pun sama. Keputusan bukan perkara yang paling penting.”

    Sementara itu pengurus City, Guardiola mengetepikan kekalahan itu, lebih banyak bercakap mengenai persembahan pemain remaja, Phil Foden, 17, yang dibawa dari barisan belia kelab itu.

    “Saya tidak terkata, sudah lama saya tidak menyaksikan persembahan seperti itu, ia satu tahap berlainan,” kata Guardiola, yang juga mengesahkan bahawa pemain pertahanan Aleksandar Kolarov dalam proses meninggalkan kelab, kemungkinan besar Roma menjadi destinasinya.

    “Saya tidak suka bekerjasama dengan orang yang tidak mahu kekal di kelab. Dia berkemungkinan besar ke Roma. Dia berkata mahu pergi,” kata Guardiola mengenai Kolarov.

    Keputusan Kolarov itu telah meningkatkan lagi spekulasi bahawa City semakin menghampiri bagi mendapatkan pemain pertahanan Monaco, Benjamin Mendy.

    Dalam perlawanan tersebut, United menikmati beberapa detik menarik, dengan Henrikh Mkhitaryan menguji penjaga gol baru City, Ederson dengan rembatan jarak jauh hanya selepas 20 minit.

    Ander Herrera juga mencuba nasibnya dari jarak jauh tidak lama selepas itu tetapi penjaga gol muda Brazil itu berjaya menyelamatkannya.

    Sementara itu City, yang memberikan kemunculan pertama untuk Kyle Walker, mula dapat menyesuaikan diri, manakala satu percubaan Raheem Sterling ditepis keluar oleh David de Gea.

    City sepatutnya mendapat penalti pada minit ke-31 apabila pemain muda, Patrick Roberts ditarik oleh Chris Smalling ketika dia meluru ke dalam petak.

    Sebaliknya Smalling berjaya merampas bola dan tindakan susulan Sterling menyaksikan percubaannya dihadang.

    Enam minit kemudian, United mendapat gol pendahuluan dengan jaringan hebat dari Lukaku.

    Satu hantaran jauh dari Paul Pogba telah menarik Ederson keluar dari petaknya tetapi Lukaku berjaya menanduk bola melepasi kawalan penjaga gol itu sebelum membuat penyudah dari sudut sukar.

    Dua minit kemudian, United menggandakan kelebihan mereka dengan satu lagi serangan balas pantas.

    Kali ini ia adalah Mkhitaryan menjadi arkitek, melepaskan hantaran kepada Rashford.

    Penyerang remaja England itu kemudian melepaskan rembatan rendah menewaskan Ederson ke sudut bawah gawang.

    United terus menikmati peluang baik di awal separuh masa kedua, dengan Lukaku nyaris meraih gol keduanya dalam perlawanan itu apabila percubaan melencongnya melantun terkena gawang pada minit ke-53.

    Kemudian kedua Mourinho dan rakan sejawatannya Guardiola membuat beberapa pertukaran di sepanjang separuh masa kedua, yang menyaksikan perlawanan mula perlahan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda