Lukashenko, Putin bincang isu ‘integrasi’

MOSCOW, 14 SEPT – Presiden Belarus Alexander Lukashenko hari ini berlepas ke Rusia untuk rundingan dengan rakan sejawatan Vladimir Putin tatkala Moscow menawarkan bantuan keselamatan sementara menggesa persepaduan yang lebih erat dengan jirannya.

Rundingan adalah pertemuan pertama di antara pemimpin dan sekutu rapat sejak kemenangan Lukashenko yang dipertikaikan dalam pilihan raya pada 9 Ogos yang mencetuskan bantahan besar-besaran ke atas pemerintahannya, dengan puluhan ribu mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan terbaharu di Minsk semalam.

Lukashenko tiba di tempat peranginan Laut Hitam Sochi, di mana Putin mempunyai sebuah kediaman, mengadakan lawatan luar negara pertamanya sejak pilihan raya.

Beliau tersenyum ketika turun dari kapal terbang dalam kemeja lengan pendek, tanpa memakai penutup mulut dan hidung.

Wartawan untuk tabloid Komsomolskaya Pravda, Dmitry Smirnov, menulis bahawa Lukashenko ‘belum menerima kesan koronavirus’ namun perlu menjalani langkah antivirus sebelum mesyuarat.

Kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan sidang media selepas rundingan mereka.

Sementara tindakan keras Lukashenko ke atas penunjuk perasaan telah menerima kecaman dan sekatan antarabangsa, Rusia masih merupakan sekutu rapatnya.

Rundingan mungkin merangkumi isu termasuk penyusunan semula hutang Belarus kepada Rusia, tulis penganalisis politik Georgy Bovt dalam satu komen untuk stesen radio Business FM. – AFP

Presiden Belarus Alexander Lukashenko turun dari kapal terbang ketika beliau tiba di lapangan terbang di Sochi kelmarin. – AFP