Lukisan baharu Van Gogh dipamer di muzium

AMSTERDAM, 17 SEPT – Sebuah lukisan Vincent van Gogh yang tidak pernah dipamerkan di khalayak ramai sebelum ini akan dipamerkan di muzium Amsterdam yang mempunyai nama sempena pelukis terkenal itu.

Lukisan ‘baharu’ Van Gogh, ‘Study for Worn Out’ dari November 1882, adalah sebahagian daripada koleksi peribadi Belanda dan hanya dikenali oleh segelintir orang, termasuk beberapa orang dari Muzium Van Gogh.

Pemilik lukisan, yang enggan namanya disiarkan, meminta muzium supaya memutuskan sama ada lukisan tanpa tandatangan itu dilukis oleh Van Gogh.

Daripada gayanya kepada bahan yang digunakan – pensel tebal dan kertas catan air yang kasar – ia selaras dengan lukisan Van Gogh, kata penyelidik kanan Teio Meedendorp semalam.

Malah terdapatnya kesan kerosakan di belakang yang mengaitkannya dengan cara Van Gogh menggunakan gumpalan kanji untuk melekat helaian kertas pada papan lukisan.

“Agak luar biasa untuk kerja baharu ini dikaitkan dengan Van Gogh,” kata pengarah muzium Emilie Gordenker dalam satu kenyataan. “Kami bangga kerana berpeluang berkongsi lukisan awal ini dan kisahnya bersama pelawat kami.”

Muzium itu telah pun memiliki lukisan yang seakan sama, ‘Worn Out.’ Agak jelas mereka mempunyai kaitan,” kata Meedendorp. Lukisan itu telah dipinjam kepada muzium dan akan dipamerkan mulai hari ini sehingga 2 Januari. – AP

Lukisan The Study for ‘Worn Out’ oleh Vincent van Gogh dipamerkan untuk kali pertama di Muzium Van Gogh di Amsterdam, Belanda kelmarin. – AP