AMERIKA SYARIKAT – Buat pertama kali semenjak lukisan ini dihasilkan beberapa abad yang lalu, dua lukisan minyak taman bunga yang dihasilkan oleh Claude Monet di Vetheuil kini telah berjaya disatukan kembali di Washington setelah beberapa lama terpisah.
Claude Monet telah berpindah ke kawasan perkampungan ini di Paris pada tahun 1878 bersama dengan isterinya yang sakit, Camille dan dua orang anak perempuannya berikutan kehidupan mereka yang mengalami masalah ekonomi keluarga.
Claude berpindah bersama dengan sebuah lagi keluarga yang sedikit sebanyak membantu mereka dalam menjalani kehidupan mereka, Ernest Hoschede.
Ketika itu, Claude dikenali sebagai seorang artis seni yang cepat berkembang khususnya dalam menghiburkan orang ramai di Perancis, malah telah berjaya menghasilkan sekitar 300 lukisan dalam masa tiga tahun termasuk sebuah lukisan yang terkenal dunia The Artist’s Garden at Vetheuil yang dihasilkan pada tahun 1881.
Namun pada 8 Ogos tahun lalu, Galeri Seni Kebangsaan telah mempamerkan dua daripada empat karya seni hasil ciptaan Monet yang kaya dengan lakaran suasana persekitaran semula jadi seperti barisan bunga-bunga matahari yang besar dan beberapa lagi karya-karyanya yang lain.


Lukisan-lukisan ini dipinjam sementara oleh galeri tersebut daripada Muzium Norton Simon di California.
“Ia merupakan satu detik permulaan terhadap perjalanan kerjayanya, menangani kesusahannya, dia telah berjaya melakar satu pemandangan landskap yang menarik dan secara perlahan-lahan menunjukkan minat terhadap bentuk lakaran kesan atmosfera,” kata Kurakator Galeri Kebangsaan Lukisan-lukisan Perancis pada abad yang ke-19, Kimberly Jones dalam satu temu bual bersama media.
Manakala bagi versi Norton Simon, mereka percaya bahawa kebanyakan hasil lukisan-lukisan Monet ini dijadikan model sebagai peneman dirinya kerana kebanyakan lukisan-lukisan Monet berlatarbelakangkan kawasan kediamannya yang diliputi dengan taman-taman bunga yang indah dan menakjubkan.
Satu penemuan baharu
“Sebelum lukisan-lukisan ini berjaya disatukan kembali, kami sentiasa menggambarkan bahawa penjagaan lukisan ini agak sedikit longgar dan seperti ada kehilangan sesuatu kami tidak mempunyai contoh lain untuk dirujuk. Kami sentiasa percaya bahawa penyelidikan kami bahawa ia sebenarnya sebuah lukisan bagi gambaran yang lebih besar,” tambah pembantu Norton Simon, Emily Talbot kepada media.
“Berikutan banyak informasi yang telah kami terima malah ada juga yang telah diterbitkan di media-media akhbar terhadap dua lukisan ini, kami mula bertanya, jika boleh lukisan-lukisan ini dapat ditemukan dalam satu ruang yang disediakan,” tambah Emily lagi.
Menurut pandangan Norton Simon, hasil lukisan Monet memaparkan penggunaan warna hijau yang tebal dan berlapis-lapis serta warna biru sekali gus memberangsangkan lagi lakaran lukisan tersebut khususnya di bahagian ruang udara lukisan berkenaan.

Lantaran itu, lukisan peneman itu didefinisikan sebagai lukisan berbentuk perbandingan terhadap penggunaan warna tebal dan nipis serta tompok kanvas yang terdedah.
Pegawai pemuliharaan lukisan di Galeri Kebangsaan itu, Ann Hoenigswald telah menghabiskan masa selama beberapa bulan untuk membersihkan kotoran damar pada khazanah berharga itu yang telah menjejaskan pemandangan lukisan tersebut.
“Setiap minit saya lakukan untuk membersihkan lagi lukisan ini, ia seakan-akan ‘berseri’ bahkan apa yang saya temui sebenarnya adalah lebih baik dan menarik, iaitu sentuhan tangan yang bertenaga terhadap penggunaan berus lukisan. Anda akan dapat melihat kekayaan seni ini yang penuh padat, penggunaan cat yang tebal dan tahap kelajuan tangannya ketika menggerakkan berus lukisannya,” kata Ann lagi kepada media.
“Selain itu, terdapat juga percikan-percikan berus menghiasi lukisan tersebut dan mencerminkan satu lakaran perjalanan yang tidak teratur terhadap penciptaan lukisan ini,” tambah Ann lagi.
Namun selepas 10 tahun penciptaan lukisan itu, pada tahun 1890, Monet memulakan usahanya untuk melukis beberapa buah lukisan berbentuk formal yang merangkumi beberapa siri dan menumpukan kepada satu subjek seperti lukisan ‘The Rouen Cathedral’, ‘London’s House of Parliament’, ‘Water Lilies’ dan banyak lagi.
Lazimnya, lukisan-lukisan Monet dihasilkan tergantung kepada musim dan tempoh-tempoh yang tertentu namun masih mempamerkan vintaj era tersebut.
“Lukisan bertemakan siri taman indah itu seperti satu idea yang baharu sahaja terdetik untuk membangunkan lagi perkembangan mindanya,” tambah Jones lagi kepada media. – AFP