Tuesday, December 3, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lukisan pertama robot manusia dijual lebih AS$1 juta

    LONDON, 8 NOV – Potret ahli matematik England, Alan Turing, menjadi karya seni pertama oleh robot manusia yang dijual semasa lelongan dengan harga lebih daripada AS$1 juta kelmarin.

    Potret setinggi 2.2 meter oleh Ai-Da, robot artis ultra-realistik pertama di dunia, dijual pada harga AS$1,084,800, melepasi jangkaan pra-lelongan sebanyak AS$180,000 di Sotheby’s Digital Art Sale, London.

    “Pencapaian harga rekod untuk karya seni pertama oleh robot manusia ini menandakan detik sejarah dalam seni moden dan kontemporari serta mencerminkan pertumbuhan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pasaran seni global,” kata jurucakap firma lelong tersebut.

    Ai-Da robot, yang menggunakan AI untuk bercakap, menyatakan, “Nilai utama karya saya adalah kemampuannya menjadi pemangkin dialog mengenai teknologi yang sedang berkembang pesat.”

    Robot ultra-realistik itu direka untuk menyerupai seorang wanita dengan wajah, mata yang besar dan memakai rambut palsu berwarna perang. Ai-Da dinamakan sempena Ada Lovelace, pengatur cara komputer pertama di dunia dan dicipta oleh Aidan Meller, seorang pakar seni moden dan kontemporari.

    Robot Ai-Da semasa melukis imej di tengah London pada 4 April 2022. – AFP

    “Karya seni hebat dalam sejarah sering kali mencerminkan perubahan sosial dan teknologi seiring zamannya,” ujar Meller.

    “Ai-Da Robot sebagai teknologi adalah artis terbaik untuk membincangkan perkembangan semasa dalam teknologi dan legasinya,” tambahnya.

    Ai-Da menghasilkan idea melalui perbualan dengan pekerja studio dan mencadangkan untuk melukis potret Turing semasa perbincangan mengenai ‘AI untuk kebaikan.’

    Robot tersebut kemudiannya diminta memilih gaya, warna, kandungan dan tekstur sebelum menggunakan kamera di matanya untuk melihat gambar Turing dan menghasilkan lukisan.

    Meller mengetuai pasukan yang membangunkan Ai-Da bersama pakar AI dari Universiti Oxford dan Birmingham, England. Beliau menyatakan bahawa Turing, yang terkenal sebagai pemecah kod semasa Perang Dunia Kedua serta ahli matematik dan pelopor saintis komputer yang pernah menyuarakan kebimbangan tentang penggunaan AI pada tahun 1950an.

    Karya seni Ai-Da digambarkan sebagai ‘menyeramkan dan mistik’ serta terus mempersoalkan ‘hala tuju kekuatan AI akan membawa kita serta perlumbaan global untuk mengawal kuasa ini,’ tambah beliau. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda