SAO PAULO, 27 Nov – Tindakan undang-undang yang dihadapi oleh bekas presiden Brazil yang dipenjarakan Luiz Inacio Lula da Silva bertambah semalam yang mana dia dituduh oleh pejabat pendakwa awam Sao Paulo terlibat dalam pengubahan wang haram dalam urusannya dengan Equatorial Guinea.
“Lula menggunakan prestij antarabangsanya untuk mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Presiden Equatorial Guinea Teodoro Obiang (Nguema) untuk memberi faedah kepada kumpulan Brazil, ARG di negara Afrika,” menurut pejabat pendakwa awam dalam satu kenyataan.
Sebagai pertukaran, Lula dipercayai telah menerima rasuah berjumlah AS$250,000 dari September 2011 sehingga Julai 2012 di bawah nama sumbangan untuk Institut Lula.
Kejadian tersebut didakwa berlaku selepas dia bersara daripada jawatan presiden dari 2003 hingga 2010.
Institut Lula menolak tuduhan berkenaan dan berkata semua sumbangan yang diterimanya adalah sah, diisytiharkan dan digunakan untuk aktiviti institut tersebut, tanpa sebarang pampasan.”

Menurut pihak pendakwa, seorang eksekutif di syarikat pembinaan awam ARG meminta bekas presiden itu supaya menjadi orang tengah bersama Obiang untuk melancarkan urusan perniagaan syarikat di Equatorial Guinea, terutamanya pembinaan jalan raya.
Lula telah pun menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menerima pangsapuri tepi pantai sebagai rasuah daripada sebuah syarikat Brazil, BTP, sebagai pertukaran untuk kontrak kerja awam.
Bekas pemimpin berusia 73 tahun itu menjadi subjek bagi lima siasatan rasuah dan pengubahan wang tetapi menegaskan dia tidak bersalah terhadap semua tuduhan.
Pada Jumaat lalu, dia dan penggantinya serta rakan anggota Parti Pekerja, Dilma Rouseff, dituduh menerima rasuah dengan wang yang disalurkan daripada syarikat gergasi minyak milik kerajaan, Petrobras.
Mereka dituduh bersubahat untuk menubuhkan pertubuhan jenayah de facto.
Peguam Lula menganggap dakwaan itu sebagai pendakwaan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Obiang, 76, telah dituduh melakukan penindasan kejam ke atas penentangnya serta penipuan pilihan raya dan rasuah. – AFP































