Lumba Basikal Brunei Classic pemangkin pelancongan sukan

Oleh Dr. Fahmi Ibrahim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Perlumbaan basikal tertua di Brunei kembali dianjurkan oleh Persatuan Berbasikal Brunei Darussalam (BDCF) setelah sekian lama tertangguh.

Ia bakal diadakan pada 8 Januari bermula di Kuala Belait dan berakhir di Bandar Seri Begawan sejauh 160 kilometer. Kali terakhir perlumbaan ini diadakan ialah pada tahun 1984 dan ketika itu merupakan acara utama perlumbaan berbasikal di negara ini yang telah melahirkan ramai jaguh lumba basikal negara. Sejarah Brunei Classic begitu signifikan dengan perkembangan dan pembangunan sukan lumba basikal Brunei di mana ia menjadi alasan utama untuk dianjurkan kembali bagi menemui peminat sukan lumba basikal dan mengembalikan nostalgia kegemilangan sukan ini. Kolaborasi yang erat di antara BDCF dan Tum2Cycles adalah menjadi faktor utama acara penganjuran Brunei Classic 2017 ini berjaya direalisasikan.

Penganjur telah menerima penyertaan hampir 500 peserta dari dalam dan luar negara secara individu dan juga berpasukan. Sebanyak lima kategori yang dipertandingkan iaitu; Elite, Masters (umur 40-49 tahun), Veteran (umur 50 tahun ke atas), Novice (Terbuka) dan Wanita (Terbuka). Hadiah berjumlah $15,000 akan diagihkan pada setiap kategori menjadi rebutan para pelumba.

Bagi menyemarakkan lagi perlumbaan ini, acara ‘Challenge Ride’ (100 km) diadakan bagi memberi peluang kepada peminat-peminat sukan basikal merasai suasana dan laluan perlumbaan serta sokongan kawalan trafik daripada penganjur dan pihak polis. Tiga ‘water station’ juga disediakan untuk para peserta pada setiap 30 km. Bantuan mekanik bergerak dan unit kesihatan (medical) akan disediakan sekiranya para peserta mengalami masalah mekanikal basikal dan kemalangan. Setiap peserta yang berjaya menamatkan kayuhan akan menerima pingat.

Analisis Laluan Perlumbaan

Perlumbaan bermula di Kuala Belait dan berakhir di Bandar Seri Begawan sejauh 160 kilometer. Laluan adalah agak landai untuk permulaan 60 km pertama. Cabaran utama adalah faktor angin lintang (echelon) dari arah Laut China Selatan. Ini kerana laluan melalui jalan utama persisiran pantai sehingga ke Daerah Tutong. Seperti kebiasaan strategi perlumbaan, pelumba-pelumba akan mengambil kesempatan untuk melakukan pecutan pemisah (breakaway).

Tetapi ada sebahagian laluan yang terlalu lurus sejauh lima km seperti menghala ke Anduki yang memberi kesukaran pelumba untuk melakukan pecutan pemisah kerana mudah dilihat oleh kelompok peloton. Kerjasama pasukan amat diperlukan pada laluan ini bagi memastikan pelumba-pelumba utama berada dalam keadaan selamat daripada angin lintang dan asakan serangan (attacks) di awal perlumbaan.

Seterusnya laluan perlumbaan memasuki Pekan Tutong menghala ke Bandar Seri Begawan melalui jalan lama. Laluan agak berbeza kerana agak berbukit di kawasan Kampung Sinaut. Ini akan memberikan sedikit kelebihan kepada pendaki (climber) untuk melakukan asakan. Jarak perlumbaan mencapai 100 km di Jalan Jangsak menuju ke Lambak. Perlumbaan akan melalui laluan kawasan-kawasan tertentu di mana orang ramai berpeluang melihat lebih dekat perlumbaan yang berlangsung.

Selepas melintasi kawasan Lambak, pelumba-pelumba akan melalui lebuh raya menuju ke Muara, Salambigar dan Mentiri. Cabaran utama bagi pelumba ialah laluan di 40 km terakhir perlumbaan. Laluan berbukit yang melibatkan lima pendakian. Pendakian ini berkemungkinan besar menjadi penentuan kepada pelumba-pelumba untuk melakukan sesuatu atau serangan (attacks) untuk menjuarai Brunei Classic 2017. Agak sukar untuk pelumba manakah yang sesuai dengan laluan ini memandangkan cabaran berbukit terletak di akhir perlumbaan setelah menempuhi hampir 120 km jarak perlumbaan. Pelumba-pelumba Filipina sememangnya mempunyai kekuatan di laluan berbukit akan memberi persaingan sengit kepada pelumba-pelumba tempatan Brunei walaupun sudah biasa dengan laluan tersebut.

Harapan Yang Positif

Bagaimanapun penganjur amat berharap Brunei Classic 2017 dapat dijayakan dengan sempurna dari pelbagai segi terutamanya keselamatan pelumba/peserta, keselesaan para peserta dan agihan hadiah kemenangan dan cenderahati pingat dan jersi yang dijanjikan. Penganjuran ini memberi impak positif di antara agensi kerajaan khususnya Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan pihak swasta di mana mereka dapat bekerjasama untuk menjayakan Brunei Classic 2017 sebagai pembuka tirai tahun 2017.

Selain itu jumlah penyertaan daripada luar negara amat memberangsangkan dan ini membuktikan pencapaian objektif menarik pelancong luar negara berasaskan sports tourism berhasil. Maklum balas yang diterima menunjukkan tempahan bilik hotel, tempahan pengangkutan darat dan penerbangan serta peningkatan penjualan aksesori basikal dalam industri kecil dan sederhana (PKS), menandakan penganjuran Brunei Classic 2017 telah menunjukkan petanda awal impak positif kepada ekonomi negara.

Dari segi pemerhatian, penglibatan orang ramai dalam sukan berbasikal telah bertambah dan meningkat serta kekerapan penglibatan dalam aktiviti berbasikal juga meningkat sepanjang musim cuti sekolah dengan latihan dan persiapan untuk Brunei Classic 2017. Ini boleh dikatakan rakyat Brunei secara tidak langsung telah mengamalkan gaya hidup sihat melalui penyertaan acara Brunei Classic. Petunjuk-petunjuk ini seharusnya berita gembira kepada Kementerian Kesihatan yang diterajui oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.