Luminox Bear Grylls Survival Collection miliki keunikan tersendiri

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Bagi separuh pertama 2020, Luminox akan melancarkan Luminox Bear Grylls Survival Collection yang akan menampilkan ciri tanda Bear Grylls, Never Give Up pada semua jam tangannya.

Jam-jam tangan berkenaan juga akan mengetengahkan warna jingga, memberikan rekaan konsisten kepada koleksi tersebut.

Luminox dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan bahawa setiap siri akan menampilkan set rekaan dan fungsinya tersendiri yang unik.

Luminox Bear Grylls Survival 3780 Land Series dilengkapi dengan semua yang diperlukan Bear Grylls, seorang pengembara British yang terkenal, untuk hidup dalam sebarang pengembaraan.

Bingkai Carbonox 45mm siri ini bukan sahaja kalis air dengan kedalaman sehingga 200 meter, malah ia juga merupakan kronograf, sesuai untuk mengira kelajuan berjalan dengan alat pengukur khas pada bezel.

Siri Luminox Bear Grylls Survival 3780 didatangkan dengan hanya enam Luminox Light Technology (LLT).

Siri ini juga terdapat dalam dua rekaan dengan rekaan pertama menampilkan muka jam warna hitam dan tali getah hitam dengan tanda garisan khas (cm dan inci) serta didatangkan dengan kompas pada talinya.

Manakala itu, rekaan kedua mengetengahkan muka jam warna hijau khaki dengan tali paracord.

Tali paracord berkenaan ditenun daripada tali pintal nilon yang digunakan untuk tali gantung paracut. Apabila diuraikan, tali berkenaan mempunyai kepanjangan kira-kira 80cm dan boleh menahan berat sehingga 250kg.

Kegunaan lain tali paracord berkenaan termasuk mengikat peralatan, membuat tempat perlindungan dan menggunakan bahagian dalamannya sebagai tali menangkap ikan atau jahitan, membuat splin bagi anggota badan yang patah dan sebagainya.