Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Lumpuh bukan penghalang untuk berjaya

    CHICAGO – Terdapat sekeping gambar besar Jonathan Annicks tergantung di dinding sebuah hospital pemulihan di mana dia pernah menjadi seorang pesakit.

    Ada kalanya apabila dia melalui tempat itu dalam kerusi rodanya, dia akan menatap gambar hitam putih itu, dirakam sejurus selepas dia ditembak dan menjadi lumpuh. Dia berusia 18 tahun pada masa itu, pipinya lebih berisi, rambut keritingnya lebih pendek.

    Dia nampak yakin, malah tenang. Pada masa itu, dia tidak mempunyai pilihan lain melainkan bertahan demi keluarga dan dirinya. Sekiranya dia berputus asa, dia berkata dunianya mungkin akan hancur.

    Namun pada masa yang sama, dia berasa bingung dengan keadaan yang dialaminya.

    “Saya tidak tahu apa yang saya lakukan. Saya berasa takut untuk keluar, terutamanya tanpa kaki yang berfungsi. Apakah sekiranya ada seseorang menyerangnya lagi? Saya tidak dapat berlari,” ujarnya.

    Herlinda Annicks mencium anaknya Jonathan selepas menerima ijazah sarjana muda dalam komunikasi dan media di Universiti DePaul pada 12 Jun 2022 di Chicago. – AP
    Jonathan Annicks bergambar dengan kerusi rodanya di depan rumahnya di Chicago pada 13 Oktober 2016, tidak jauh daripada insiden lelaki bersenjata menembaknya, meninggalkannya lumpuh dalam kereta abangnya. – AP

    “Jonathan, kamu nampak sihat dan ceria,” orang sentiasa memberitahunya.

    “Ya,” jawab ibunya, Herlinda Annicks. Malah sekarang, ‘ia tidak bermakna dia tidak bergelut dengan segala-galanya di-sebabkan awda tahu, kejadian tersebut telah menghantui dan mengubah dunianya.”

    Mengakui dirinya bergelut sepanjang masa bukan mudah untuk remaja yang tidak ingin dilihat sebagai perungut.

    “Semua orang mempunyai hari-hari malang,” kata Jonathan. Namun pada usia 24 tahun, lebih matang dan lebih bijak, dia mempelajari kemenangan ke atas tragedi yang jarang datang bergolek dengan sendirinya.

    Lelaki bersenjata yang menembaknya pada April 2016 tidak pernah ditangkap. Dia menyerang hendap Jonathan ketika dia sedang mengeluarkan pengecas telefon bimbit dari kereta yang diletak di depan rumah keluarganya di Little Village di Chicago. Beberapa minggu kemudian, wartawan Associated Press bertemu dengannya dan keluarganya untuk mendokumenkan kisahnya.

    Beberapa bulan pertama sejak insiden itu merupakan detik-detik yang amat sukar dalam hidupnya.

    Pada musim luruh tahun itu, Jonathan memulakan kelas di Universiti DePaul, menaiki kereta api dan akhirnya memandu dalam keretanya sendiri, yang diubahsuai dengan menggunakan kawalan tangan.

    “Tidak ada gunanya asyik merajuk mengenai sesuatu yang tidak mampu saya ubah,” katanya pada masa itu.

    Namun, dia bimbang dan enggan membebankan keluarganya. Dia tidak hanya mahu menjadi lelaki yang duduk dalam kerusi roda.

    Semasa pandemik, Jonathan bersama ibunya menghadiri kelas dalam talian di rumah, dan awal bulan ini, mereka menamatkan pengajian bersama. Jonathan berjaya memperoleh ijazah sarjana muda dalam komunikasi dan media, sementara ibunya menerima ijazah sarjana dalam sastera.

    Kini Jonathan, bekas pesakit di pusat berkenaan, bekerja sebagai mentor yang mengajar kemahiran hidup kepada pesakit lumpuh.

    Musim bunga ini, dia mengiringi sekumpulan pesakit, semuanya dalam kerusi roda, untuk menyaksikan perlawanan bola keranjang Chicago Bulls. Dia mengajar mereka bagaimana menggunakan sistem faedah dan cara-cara menjadikan rumah mereka lebih mudah diakses.

    Terbaharu, dia menunjukkan Cesar Romero, pesakit pemulihan, bagaimana berpindah dari kerusi roda ke dalam kereta. Lelaki itu bekerja di tapak pembinaan sehingga dia ditembak pada tahun lalu ketika dalam perjalanan ke kedai runcit.

    Namun segala cabaran tidak menghalang Jonathan mencapai impiannya. Dia ingin tinggal sendirian, bertemu seorang wanita istimewa dan mempunyai anak sendiri, yang mungkin dapat dicapai meskipun kecederaan dialaminya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...