Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Lunas hutang elak bermusuh

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Orang yang mampu membayar hutangnya tetapi sengaja menunda-nunda atau melengah-lengahkan membayar hutang tersebut dengan memberikan pelbagai alasan, sedangkan orang itu mampu untuk membayarnya, maka perbuatan itu merupakan satu bentuk kezaliman.

    Perkara itu ditekankan oleh khatib dengan memetik hadis Rasulullah SAW pada khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Kewajipan Membayar Hutang’.

    “Sesungguhnya perbuatan menzalimi sesama manusia dengan tidak membayar hutang merupakan antara perkara yang boleh menjejaskan keharmonian dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara,” jelasnya.

    Ini kerana ia merupakan antara punca utama berlaku pertengkaran dan permusuhan sama ada sesama ahli keluarga, adik beradik, saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga dan seumpamanya.

    Khatib dalam khutbahnya turut mengingatkan, perbuatan menzalimi orang itu adalah perbuatan yang berdosa dan doa orang yang dizalimi itu adalah mustajab.

    Perbuatan memandang remeh kewajipan membayar hutang bukan saja akan menyusahkan si penghutang itu di dunia tapi ia mengheretnya kepada kerugian dan kesusahan, di akhirat kelak apabila dia meninggal dunia sebelum sampai melunaskan hutang dan ahli waris pula tidak mahu bertanggungjawab untuk menyelesaikannya.

    “Orang yang meninggal dunia dalam keadaan masih belum melunaskan hutangnya, pada hari kiamat kelak segala amal kebaikan dan kebajikan akan diambil dan digunakan untuk melunaskan segala hutang piutangnya,” tambahnya.

    Seandainya belum juga mencukupi, segala dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh si pemiutang akan dipindahkan kepada orang yang berhutang tersebut.

    Sebagai peringatan kepada semua supaya tidak terjebak dengan hutang-piutang yang banyak, maka hendaklah mengukur baju di badan sendiri, tegas khatib, janganlah mudah terpengaruh dengan budaya hidup yang serba mewah kerana kita hidup di dunia yang fana ini biarlah berpada-pada dan sederhana.

    “Janganlah kita terlalu menurut kata hati dan hawa nafsu kerana berhutang itu memang mudah dan senang tapi membayarnya pula adalah sangat susah,” nasihatnya.

    Walaupun agama Islam tidak melarang umatnya berhutang tapi berhutang itu bukanlah satu perkara yang digalakkan kerana, agama Islam menasihatkan umatnya supaya menjauhkan diri daripada berhutang.

    Sekiranya terpaksa berhutang, kita hendaklah berniat dan berazam untuk membayar hutang tersebut bukan sewenang-wenang berhutang iaitu apabila tiba masa untuk membayar hutang tersebut, kita selalu bertangguh-tangguh dan ada kalanya langsung tidak mahu membayar sehingga menyebabkan perkelahian dan permusuhan.

    Khatib turut mengingatkan bahawa menjadi kewajipan bagi orang yang berhutang untuk membayar hutangnya dan tidak dinafikan terdapat juga segelintir orang yang berhutang tidak dapat membayar hutang disebabkan sumber kewangan yang kurang mencukupi.

    Walau bagaimanapun, mereka hendaklah sentiasa berusaha dan mencari ikhtiar untuk menjelaskan semua hutang yang ada, kerana Allah akan memberi kemudahan dan pertolongan kepada orang yang ingin melunaskan atau melangsaikan hutangnya.

    Khatib seterusnya menjelaskan bahawa terdapat beberapa sebab atau punca mengapa seseorang itu menanggung beban hutang yang banyak.

    Ini antaranya terlalu terikut-ikut dengan trend atau gaya kehidupan semasa sehingga berbelanja di luar kemampuan.

    Selain itu, berhutang untuk perkara yang tidak penting dan bukan keperluan hidup, kurang bijak dalam menilai, mengatur dan mengurus kewangan atau perbelanjaan, serta suka melengah-lengahkan membayar hutang sedangkan dia sudah mampu untuk
    melunaskannya.

    Khatib juga mengongsikan bahawa Rasulullah SAW dalam hadis Baginda ada mengajarkan satu doa supaya dilindungi daripada hutang.

    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan bahawa Siti ‘Aisyah r.a mengatakan Rasulullah SAW selalu membaca doa terbebas dari utang dalam sholatnya yang maksudnya berbunyi, “Ya Allah, sesungguhkan aku berlindung denganmu daripada berbuat dosa dan terlilit hutang.”

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...