Lupus kes ikut tempoh masa

SANDAKAN, 6 Jan – Hampir semua mahkamah di Sabah dan Sarawak dapat melupuskan kes dalam tempoh masa yang ditetapkan, kata Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum.

Beliau berkata secara keseluruhan mahkamah di Sabah dan Sarawak di semua peringkat menunjukkan pencapaian yang baik tahun lepas.

“Tetapi ini tidak bermakna Hakim, Pesuruhjaya Kehakiman, pegawai kehakiman dan kakitangan harus berpuas hati dengan pencapaian mereka. Masih ada ruang untuk penambahbaikan,” kata beliau pada majlis Perasmian Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2017 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk David Wong Dak Wah.

Beliau berkata satu isu yang dihadapi oleh mahkamah di Sabah dan Sarawak ialah jumlah litigan mewakili diri sendiri yang semakin meningkat, baik dalam kes jenayah mahupun sivil.

Tun Arifin Zakaria (atas kenderaan) mengetuai perarakan sempena Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak di Mahkamah Sandakan kelmarin. – Bernama
Tun Arifin Zakaria (atas kenderaan) mengetuai perarakan sempena Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak di Mahkamah Sandakan kelmarin. – Bernama

“Saya fikir ia bukan disebabkan oleh kekurangan peguam. Sebaliknya, ia melibatkan kos apabila mengambil khidmat peguam. Kedaulatan Undang-undang bukan sahaja perlu dilahirkan tetapi ia mesti dilaksanakan dan juga dihormati.

“Keadilan bukan didominasi oleh yang kaya dan berkuasa. Jadi, mungkin pengamal perundangan perlu mengkaji perkara ini dengan serius terutama mereka yang berkemampuan tetapi layak mendapat bantuan perundangan,” katanya.

Malanjum berkata beberapa perkara itu ialah dalam bentuk litigasi yang menyentuh kepentingan awam seperti isu berkaitan alam sekitar dan hak untuk hidup atau mencari nafkah hidup.

Beliau berkata seseorang cukup berpuas hati apabila keadilan dapat dilaksanakan dengan mengetepikan sikap tamak manusia terutama yang kaya dan berkuasa yang mungkin berfikir bahawa merosakkan alam sekitar dan menyalahgunakan kuasa adalah prerogatif mereka. – Bernama