Sepertimana maklum, Jawatankuasa Pandu COVID-19 telah memaklumkan bahawa penjarakan fizikal mengikut ukuran lebar tikar sembahyang (bersaiz besar) bagi sembahyang fardu berjemaah dan sembahyang fardu Jumaat di masjid-masjid tidak lagi diperlukan berkuat kuasa 15 Februari yang lalu.
Walau bagaimanapun pada pemerhatian saya semasa sembahyang fardu Jumaat selama empat minggu ini, jemaah masih lagi ragu-ragu untuk merapatkan saf terutamanya mereka yang membawa sejadah sendiri.
Meluruskan saf ini termasuk dalam salah satu adab-adab solat berjemaah dan terdapat keberkatan di dalamnya.
Daripada Abdullah bin Umar R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Janganlah kamu meninggalkan ruang-ruang bagi syaitan.Barang siapa yang menyambungnya (saf) maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa yang memotong saf, maka Allah akan memotongnya.” (Riwayat Abu Daud)
Dari hadis tersebut, jelas menunjukkan pentingnya untuk merapatkan saf dalam solat berjemaah ini.
Saya amat berbesar hati sekiranya masjid-masjid di negara ini dapat memperingatkan para jemaah untuk merapatkan saf sebelum bermulanya solat sepertimana waktu sebelum COVID melanda negara dahulu.
Para jemaah juga diharap dapat memberi kerjasama yang baik dalam memastikan saf yang sempurna serta menjauhi rasa takut dan waswas dengan jemaah lain di sekeliling.
Tidak lama lagi kita akan bertemu dengan bulan Ramadan yang sangat kita rindui.
Semoga Ramadan kali ini kita dapat beramai-ramai mendirikan solat sunat tarawih dalam keadaan saf yang lebih baik dan sempurna berbanding tahun-tahun kebelakangan ini.
Hamba Allah