Luxemburgo dibenar keluar hospital

RIO DE JANEIRO, 23 DIS – Bekas pengurus pasukan Brazil dan Real Madrid, Vanderlei Luxemburgo dibenarkan keluar hospital kelmarin selepas disahkan sembuh COVID-19, lapor Agensi Berita Xinhua.

Luxemburgo, 68, dimasukkan ke Hospital Sirio-Libanes di Sao Paulo pada 11 Disember setelah mengadu sakit badan dan kepala.

“Saya boleh balik. Saya berjaya atasi virus itu. Terima kasih kepada doktor dan hospital atas rawatan terbaik yang diberikan kepada saya,” kata Luxemburgo dalam video yang disiarkan di media sosial.

Jurulatih veteran itu dua kali dijangkiti COVID-19 tetapi tidak menunjukkan simptom semasa kali pertama disahkan positif Julai lalu.

Luxemburgo satu-satunya pengurus yang memenangi lima gelaran Serie A Brazil. Beliau memimpin pasukan kebangsaan Brazil dari 1998 hingga 2000 dan pernah 11 bulan menyertai Real Madrid pada 2005.

Tugas terakhirnya ketika menjadi ketua jurulatih Palmeiras sebelum bersara adalah pada Oktober. – Bernama