ISTANBUL, 21 April – Lyon menamatkan impian Liga Europa pasukan dari Turki, Besiktas dalam penentuan penalti epik di Istanbul, dengan pasukan Perancis itu mara ke separuh akhir walaupun berkunjung ke laman lawan tanpa penyokong.
Dengan keputusan berakhir 2-1 memihak kepada Besiktas untuk kesudahan agregat 3-3, perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti yang dimenangi Lyon 7-6.
Kedudukan masih terikat selepas sepakan keenam dengan Dusko Tosic menyaksikan usahanya diselamatkan penjaga gol Lyon, Anthony Lopes namun sepakan Christophe Jallet pula tinggi melepasi palang buat Lyon.
Namun sepakan pemain kelapan Besiktas, Matej Mitrovic diselamatkan dan Maxime Gonalons kemudian tidak melakukan kesilapan untuk memberikan kemenangan buat Lyon sekali gus mengecewakan pasukan Turki itu.
Perlawanan suku akhir pertama di Lyon minggu lalu dicemari pergaduhan antara penyokong yang menyebabkan perlawanan tergendala dan kedua-dua pasukan dikenakan hukuman – digantung dua tahun – daripada menyertai kejohanan di Eropah.

Sebagai langkah keselamatan, Lyon meminta penyokongnya tidak ke perlawanan itu dan hanya sejumlah kecil penyokong Lyon berkunjung ke Istanbul, dan mereka duduk di bahagian VIP ketika penyokong Besiktas memenuhi ruang tempat duduk mereka.
“Apa yang penting ialah mengucapkan tahniah kepada pasukan Lyon kerana selepas pelbagai masalah dalam tempoh 10 hari, kami berjaya mara dengan jalan cerita yang hebat,” kata presiden Lyon, Jean-Michel Aulas.
Kali ini ketegangan berlaku di dalam padang dan bukan di tempat duduk penyokong ketika kedua-dua pasukan berhempas-pulas merebut tiket separuh akhir.
Memburukkkan lagi keadaan ialah apabila perlawanan berlangsung hanya beberapa hari selepas referendum Turki menjuruskan kepada protes besar-besaran di Besiktas yang juga kubu kuat pembangkang di Turki.
Beraksi dengan defisit 1-2 di laman sendiri tetapi berbekalkan kelebihan gol di tempat lawan, Besiktas boleh bersandar kepada sokongan fanatik kira-kira 40,000 penyokong mereka yang penuh ghairah. – AFP