Tuesday, March 25, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lyon menang, trofi Piala Dunia dipamerkan

    PARIS, 13 Ogos – Bertrand Traore dan Memphis Depay menjaringkan gol bagi pasukan Lyon dalam kemenangan 2-0 pada musim pembukaan ke atas Amiens semalam, ketika pemain antarabangsa Perancis, Nabil Fekir mempamerkan trofi Piala Dunia kepada peminat pasukan tuan rumah sebelum sepak mula.

    Pemain penyerang Burkina Faso, Traore memastikan Lyon di depan pada minit ke-24 apabila meluru ke sudut kanan dan membawa bola melepasi kaki penjaga gol Amiens, Regis Gurtner dari sudut sukar.

    Fekir, yang beraksi sebagai pemain gantian dalam kemenangan Perancis 4-2 menentang Croatia dalam persaingan Piala Dunia bulan lalu, tidak terlibat dalam skuad Lyon setelah hanya kembali menjalani latihan hari ini.

    Beliau menjaringkan 18 gol dalam persaingan Ligue 1 musim lalu dan dilihat hampir berpindah ke Liverpool pada Jun lalu sebelum perundingan bersama kelab Liga Perdana itu terjejas.

    Pasukan kendalian Bruno Genesio beraksi tanpa kapten pasukan mereka di Stadium Gorupama ketika bintang Belanda itu, Depay memastikan kutipan mata menerusi sepakan percuma dari jarak 20 ela pada minit ke-75.

    “Saya merasa gembira beraksi dengan baik. Saya tidak pernah merasa gembira di atas padang seperti di Manchester United atau PSV,” kata Depay, yang berperanan dalam 18 gol sepanjang 10 perlawanan liga yang lalu bersama Lyon.

    “Saya merasa gembira sekarang dan bukan hanya dalam bola sepak tetapi juga dalam kehidupan peribadi saya. Saya berharap ia akan berterusan.”

    Juara bertahan, Paris Saint-Germain memulakan kempen mereka di gelanggang sendiri menentang Caen lewat semalam, dengan Gianluigi Buffon bersedia untuk membuat kemunculannya dalam Ligue 1 berikutan ketibaannya dari Juventus. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda