Lyon tundukkan Juventus

LYON, 26 FEB – Bintang Cristiano Ronaldo gagal menjaringkan gol sementara Lucas Tousart berjaya menjaringkan gol untuk memberikan kemenangan mengejut Lyon 1-0 ke atas Juventus di pusingan pertama kelompok 16 Liga Juara-Juara di Perancis pada Rabu.

Pemain Lyon, Tousart menjaringkan gol pada minit ke-31 perlawanan untuk memberikan Lyon kedudukan di hadapan dan bertahan apabila mereka berkunjung ke Turin pada 17 Mac nanti.

Gol tersebut hadir apabila pemain pertahanan Juventus, Matthijs De Ligt dikeluarkan untuk menerima rawatan selepas kepalanya berdarah akibat bertembung dengan pemain Lyon, tetapi ia merupakan ganjaran buat Lyon yang bermain dengan cemerlang pada separuh masa pertama selepas menempuhi musim yang sederhana.

Lyon kemudiannya terselamat dari tekanan yang diberikan oleh Juventus untuk memberikan mereka keputusan terbaik mereka di Liga Juara-Juara sejak mengalahkan Manchester City pada pusingan kumpulan musim lalu.

“Ia merupakan persembahan taraf dunia dari pasukan kami. Separuh masa kedua lebih mencabar, tapi saya gembira kami mampu bertahan sehingga ke akhirnya,” menurut ketua jurulatih Lyon, Rudi Garcia.

“Saya berkata kepada mereka apabila kita bermain di tempat sendiri di pusingan pertama, ia adalah penting untuk tidak bolos, dan sekarang kami perlu menjaringkan gol di sana. Kami mesti terus merendah diri, ini baru perlawanan pertama.”

Sementara itu, pasukan Maurizio Sarri mempunyai cita-cita untuk memenangi trofi, tetapi mereka tidak dapat menjaringkan gol berharga di tempat lawan, dengan percubaan Paulo Dybala telah dibatalkan oleh pengadil.

“Dalam separuh masa pertama, kami bukan bermain seperti Juve yang kita kenali. Kami tidak menyerang. Saya masih belum memahami beberapa perkara,” menurut Sarri, yang merasakan Juventus sepatutnya diberikan dua sepakan penalti.

“Kami tidak melakukan dengan secukupnya di perlawanan Liga Juara-Juara tetapi kami bernasib baik kerana masih ada 90 minit untuk menterbalikkan keputusan perlawanan. – AFP

Aksi pemain sayap Portugis, Cristiano Ronaldo ketika melepasi pemain pertahanan Lyon, Jason Denayer pada perlawanan tersebut. – AP