MAA kekal unjuran jualan kereta

PETALING JAYA, 18 JULAI – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengekalkan jumlah asasl unjuran jumlah jualan industri (TIV) sebanyak 600,000 unit tahun ini, daripada 598,714 unit yang dicatatkan pada 2018, didorong oleh petunjuk yang bercampur-campur mengenai prospek ekonomi.

Presidennya Datuk Aishah Ahmad berkata walaupun Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan ekonomi global menjadi perlahan kepada 2.9 peratus tahun ini, pengenalan model-model baharu menawarkan spesifikasi dan reka bentuk tambahan terkini dengan harga yang sangat kompetitif, dapat membantu mengekalkan minat belian.

“Pengguna dan perniagaan secara umumnya sangat berhati-hati dalam perbelanjaan memandangkan ramai yang menjangkakan kedudukan ekonomi yang tidak menentu ini akan berlanjutan ke separuh kedua tahun ini, namun kempen promosi agresif sepanjang tahun dapat mengurangkan impak tersebut,” katanya pada sidang media mengenai kajian pasaran MAA bagi separuh pertama 2019 (1H 2019) di sini hari ini. TIV kenderaan bermotor baharu pada 1H 2019 meningkat 2.3 peratus kepada 296,334 unit daripada 289,599 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Aishah berkata bilangan kenderaan penumpang meningkat 3.8 peratus atau 9,952 unit dalam tempoh itu, manakala segmen kenderaan komersial mencatatkan penurunan sebanyak 11.2 peratus atau 3,217 unit berbanding 1H 2018.

“Seperti yang kita semua tahu, separuh pertama tahun 2018 lemah kerana kebanyakan pengguna mengamalkan sikap tunggu dan lihat menjelang pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei, 2018.

TIV Jun 2018 sangat tinggi disebabkan peningkatan permintaan terhadap kenderaan baharu selepas kerajaan mengumumkan tempoh tiada kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selama tiga bulan,” katanya.

Secara bulanan, beliau berkata jumlah jualan pada Mei 2019 adalah yang tertinggi dalam tempoh enam bulan, melebihi angka 60,000 unit , berikutan permintaan kukuh terhadap kenderaan yang dijual pada tempoh promosi dan tawaran disediakan oleh ahli MAA sebelum sambutan Hari Raya.

Sementara itu, jumlah pengeluaran pada 1H 2019 meningkat 1.5 peratus kepada 285,028 unit daripada 280,947 unit dalam tempoh yang sama pada 2018, menunjukkan peningkatan permintaan ke atas kenderaan baharu.

“Pengeluaran kenderaan penumpang pada 1H 2019 meningkat  2.1 peratus kepada 266,765 unit daripada 261,324 unit dalam 1H 2018. – Bernama