MAA umum tiada kenaikan harga bagi CKD

KUALA LUMPUR, 22 JAN – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan tiada kenaikan harga kereta atas jalan (OTR) bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) pada tahun ini.

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata kerajaan, melalui Kementerian Kewangan (MoF), telah memutuskan untuk menyerap perbezaan harga OTR bagi model tertentu sehingga 30 Disember 2020.

“Ini untuk model yang terjejas oleh ketelusan pengiraan nilai pasaran terbuka (OMV), seperti digariskan dalam Customs Gazette P.U.A (402) bertarikh 31 Dis, 2019.

“Sebarang kenaikan harga OTR (untuk model tersebut) akan diserap sepenuhnya atau dikecualikan oleh MoF pada tahun ini dan perbezaan duti untuk tahun-tahun sebelum ini akan turut dikecualikan, berkuat kuasa serta-merta,” katanya pada taklimat media mengenai tinjauan pasaran 2019 dan prospek 2020 MAA di sini hari ini.

Aishah berkata syarikat automotif telah diminta untuk mengemukakan OMV bagi model yang terjejas kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan segera.

“Rundingan lanjut akan dilakukan oleh JKDM, MoF dan penggiat industri untuk menentukan pelaporan telus OMV selepas 2020,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan pengiraan MAA, kerajaan akan menyerap sehingga RM33,000 seunit melalui langkah itu.

Sementara itu, Aishah berkata semakan semula Dasar Automotif Nasional (NAP) akan diumumkan pada suku pertama 2020.

“NAP 2020 pada dasarnya diluluskan. Saya diberitahu bahawa Kabinet telah mengesahkannya dan ia akan diumumkan pada suku pertama 2020 oleh Perdana Menteri.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedang menunggu tarikh dan masa Perdana Menteri untuk mengumumkannya. Oleh itu, ia tidak lama lagi,” katanya. – Bernama