Maal Hijrah terus disemarak

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1442 hari ini di Surau Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan Bahagian, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah dan disusuli dengan Ceramah Khas yang disampaikan oleh Da’ie bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak.

Dalam ceramahnya, Awang Abdul Rahman antara lain menyentuh mengenai hijrah yang mana seseorang itu memerlukan pengorbanan bagi mencapai penghijrahan.

Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang bertujuan untuk memperingati dan membesarkan Sambutan Awal Tahun Hijrah 1442, di samping mengeratkan hubungan silaturahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan kementerian ini.

Majlis pada tahun ini telah dikendalikan oleh Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew hadir bersama tetamu lain pada Majlis Sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah di Surau Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan, kelmarin.